Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 2:08

[1] Bukan kepada kami, ya Tuhan, bukan kepada kami tetapi kepada nama-Mu berilah kemuliaan, kerana kasih-Mu, kerana kesetiaan-Mu.

[2] Mengapa bangsa-bangsa harus berkata, "Di mana Allah mereka?"

[3] Namun Allah kami di syurga; Dia melakukan apa yang disukai-Nya.

[4] Berhala mereka daripada perak dan emas, buatan tangan manusia.

[5] Berhala itu ada mulut tetapi tidak berkata-kata, ada mata, tetapi tidak melihat;

[6] ada telinga, tetapi tidak mendengar, ada hidung, tetapi tidak menghidu;

[7] ada tangan, tetapi tidak memegang, ada kaki, tetapi tidak berjalan; juga tidak bersuara dari kerongkongnya.

[8] Orang yang membuatnya serupalah dengannya, demikian juga semua yang percaya kepadanya.

[9] Hai kaum Israel, percayalah kepada Tuhan – Dialah penolong dan perisai pelindungmu.

[10] Hai keturunan Harun, percayalah kepada Tuhan – Dialah penolong dan perisai pelindungmu.

[11] Kamu yang takut akan Tuhan, percayalah kepada-Nya – Dialah penolong dan perisai pelindungmu.

[12] Tuhan ingat kepada kita, Dia akan memberkati kita: Dia akan memberkati keturunan kaum Israel, Dia akan memberkati keturunan kaum Harun,

[13] Dia akan memberkati semua yang takut akan Tuhan – baik yang berkedudukan rendah atau tinggi.

[14] Semoga Tuhan memberimu semakin banyak keturunan, kamu dan anak-anakmu.

[15] Semoga kamu diberkati oleh Tuhan, yang menjadikan langit dan bumi.

[16] Langit, malah seluruh angkasa, ialah milik Tuhan, tetapi bumi telah diberikan-Nya kepada anak-anak manusia.

[17] Orang mati tidak memuji Tuhan, orang yang sudah turun ke alam sunyi;

[18] tetapi kita akan menyanjung Tuhan, dari saat ini dan untuk selama-lamanya. Pujilah Tuhan!

Mazmur — Chapters