Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 3:48

[1] Dengarlah doaku, ya Tuhan; dan biarlah seruanku datang kepada-Mu.

[2] Janganlah sembunyikan wajah-Mu daripadaku semasa aku dalam kesusahan. Condongkan telinga-Mu kepadaku; ketika aku berseru, jawablah aku segera.

[3] Kerana setiap hari dalam hidupku hilang seperti asap; dan tulang-tulangku dibakar seperti di tempat berdiang.

[4] Hatiku sakit dan layu seperti rumput; sehingga aku terlupa makan rotiku.

[5] Kerana aku mengerang, tulangku melekat ke kulitku.

[6] Aku seperti burung hantu di gurun, seperti burung hantu di runtuhan.

[7] Aku tidak dapat melelapkan mata; berbaring seperti burung pipit kesepian di bumbung rumah.

[8] Musuhku mencelaku sepanjang hari; mereka yang mencemuhku mengangkat sumpah memfitnahku.

[9] Aku telah makan abu seperti roti dan minumanku bercampur air mata

[10] kerana kemarahan dan kemurkaan-Mu, kerana Engkau telah mengangkatku kemudian menghumbankan aku.

[11] Hidupku seperti bayang-bayang memanjang; dan aku layu seperti rumput.

[12] Tetapi Engkau, ya Tuhan, akan kekal selama-lamanya; dan nama-Mu diingati turun-temurun zaman-berzaman.

[13] Engkau akan bangkit dan mengasihani Sion, kerana saat untuk meredainya; ya, saat yang ditentukan, telah tiba.

[14] Kerana hamba-hamba-Mu menghargai batu-batunya; dan berasa kasihan akan debunya.

[15] Maka bangsa-bangsa akan takut kepada nama Tuhan, dan raja-raja dunia gentar akan kemuliaan-Mu.

[16] Tuhan akan membina Sion Dia akan menampakkan diri dalam kemuliaan-Nya.

[17] Dia akan menimbangkan doa orang papa; dan tidak akan menghina permohonan mereka.

[18] Ini akan disuratkan untuk keturunan akan datang, supaya umat yang belum lahir akan memuji Tuhan:

[19] "Dia memandang ke bawah dari tempat suci-Nya, dari syurga Tuhan memerhatikan bumi,

[20] untuk mendengar rintihan orang yang dipenjarakan untuk membebaskan mereka yang dihukum mati."

[21] Untuk mengisytiharkan nama Tuhan di Sion dan pujian untuk-Nya di Yerusalem

[22] apabila umat-umat berhimpun dan kerajaan-kerajaan berhimpun untuk beribadat kepada Tuhan.

[23] Dia melemahkan kekuatanku dalam hidup; Dia memendekkan umurku.

[24] Aku berkata: "Ya Allahku, janganlah ambil aku pada separuh umurku; masa-Mu meliputi semua keturunan.

[25] Pada mulanya, Engkau meletakkan asas bumi, dan seluruh langit adalah hasil kerja tangan-Mu.

[26] Bumi dan langit akan binasa, tetapi Engkau kekal; ya, segalanya akan menjadi usang seperti pakaian. Seperti jubah Engkau akan menggulungnya, seperti baju yang ditukar, semuanya akan diubah.

[27] Tetapi Engkau tetap sama, dan tahun-tahun-Mu tidak berkesudahan.

[28] Anak hamba-hamba-Mu akan berterusan; dan anak cucu mereka akan berdiri di hadirat-Mu."

Mazmur — Chapters