Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 2:45

[1] Dengarlah, wahai segala bangsa; pasang telingamu, wahai semua penghuni dunia,

[2] baik hina atau mulia, kaya atau miskin:

[3] Lidahku akan menuturkan kebijaksanaan; dan renungan hatiku akan memberi pengertian.

[4] Aku akan meneliti amsal; dan menerangkan ertinya sambil memetik kecapi:

[5] Mengapa aku harus takut dalam masa kesusahan, ketika kejahatan yang memburuku telah mengepungku –

[6] mereka yang bergantung kepada kekayaan dan berbangga akan harta yang banyak?

[7] Sesungguhnya, seorang pun daripada mereka tidak berdaya menebus saudaranya dengan membayar harga tebusannya kepada Allah –

[8] kerana harga tebusan jiwa mereka sungguh mahal, maka jiwa mereka akan musnah –

[9] mereka tidak dapat hidup selama-lamanya dan tidak dapat mengelakkan kubur.

[10] Setiap manusia melihat orang bijaksana meninggal dunia; begitu juga orang bodoh dan orang tolol lalu meninggalkan kekayaan mereka kepada orang lain.

[11] Dalam hati mereka menyangka rumah mereka akan kekal selama-lamanya, akan menjadi kediaman zuriat mereka turun-temurun, mereka menamakan tanah dengan nama mereka.

[12] Namun demikian manusia, meskipun terhormat, tidak akan kekal; sama seperti haiwan, dia akan mati.

[13] Inilah nasib orang yang bodoh, dan keturunan mereka yang menyokong kata-kata mereka. Sela

[14] Seperti domba mereka berbaring di kubur, maut akan membaham mereka. Orang yang tulus akan berkuasa atas mereka setelah pagi nanti; dan jasad mereka akan dimusnahkan di kubur, jauh dari tempat kediaman mereka.

[15] Kerana Allah yang akan menyelamatkanku dari kubur; Dia akan membawaku bersama-Nya. Sela

[16] Jangan runsing ketika melihat orang menjadi kaya-raya, dan keluarganya semakin dimuliakan;

[17] kerana apabila dia mati, tiada suatu pun dibawanya, kemuliaannya tidak turut masuk ke kubur.

[18] Walaupun dia berasa bahagia ketika hidup – kerana orang yang berjaya sentiasa dipuji –

[19] namun dia akan menyusul nenek moyangnya, dan tidak akan melihat cahaya selama-lamanya.

[20] Orang yang dimuliakan tetapi tidak mengerti samalah seperti haiwan yang mati.

Mazmur — Chapters