Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 1:49

[1] Kepada-Mu aku berseru, Ya Tuhan, Batu Pejalku; janganlah berdiam diri terhadapku. Takut nanti, jika Engkau membisu kepadaku, aku menjadi seperti mereka yang masuk ke lubang yang dalam.

[2] Dengarlah suaraku merayu apabila aku berseru kepada-Mu, apabila aku mengangkat tangan ke arah khemah suci-Mu.

[3] Jangan singkirkan aku bersama orang zalim, dan mereka yang melakukan kejahatan, yang menuturkan kata-kata damai kepada sesama manusia tetapi kejahatan terpendam dalam hati mereka.

[4] Hukumlah mereka setimpal dengan perbuatan mereka sepadan dengan kedurjanaan usaha mereka; hukumlah mereka setimpal dengan apa yang dilakukan mereka; berilah mereka hukuman yang wajar.

[5] Kerana mereka tidak menghiraukan segala perbuatan Tuhan mahupun segala hasil kerja tangan-Nya, Dia akan membinasakan mereka dan tidak akan memulihkan mereka.

[6] Segala puji bagi Tuhan, kerana Dia telah mendengar suaraku merayu.

[7] Tuhan kekuatan dan perisaiku; hatiku percaya kepada-Nya, dan aku ditolong-Nya. Oleh itu, hatiku amat gembira dan dengan nyanyianku aku akan memuji-Nya.

[8] Tuhan kekuatan mereka, dan Dia tempat berlindung orang yang diurapi-Nya.

[9] Selamatkanlah umat-Mu dan berkatilah mereka yang menjadi milik-Mu; jadilah gembala pembimbing mereka dan teguhkan mereka selama-lamanya.

Mazmur — Chapters