Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 2:08

[1] Seperti rusa merindui air sungai, demikianlah jiwaku merindui-Mu, ya Allah.

[2] Jiwaku dahaga akan Allah, Allah yang hidup. Bilakah aku akan datang ke hadirat Allah?

[3] Air mataku menjadi makananku siang malam, manakala mereka terus menerus berkata kepadaku, "Di manakah Allahmu?"

[4] Apabila kukenang segala ini kucurah keluar seluruh jiwaku: kerana dahulu aku pergi bersama orang ramai, ke Rumah Allah, dengan sorak-sorai kegembiraan dan puji-pujian bersama orang ramai menyambut hari mulia.

[5] Mengapa kau nestapa, wahai jiwaku? Mengapa engkau resah gelisah? Berharaplah kepada Allah, kerana aku akan memuji-Nya, Penyelamatku.

[6] Ya Allahku, jiwaku nestapa dalam diriku; maka aku akan ingat kepada-Mu dari tanah Yordan, dan puncak Gunung Hermon – serta dari Bukit Mizar.

[7] Jiwaku bagai dipanggil-panggil ketika mendengar deru air terjun-Mu; segala ombak dan gelombang-Mu telah menenggelamkan aku.

[8] Tuhan akan melimpahkan kasih-Nya pada siang hari, dan pada waktu malam nyanyian-Nya akan menemaniku – doa kepada Allah hidupku.

[9] Aku akan berkata kepada Allah Batu Pejalku, "Mengapa Engkau melupakan aku? Mengapa aku bersedih, kerana ditindas musuh?"

[10] Seperti mematahkan tulang-tulangku, musuhku mengejekku, dengan berkata kepadaku sepanjang hari, "Di manakah Allahmu?"

[11] Mengapa kau nestapa, wahai jiwaku? Mengapa kau resah gelisah? Berharaplah kepada Allah, kerana aku akan memuji-Nya, Penyelamatku dan Allahku.

Mazmur — Chapters