[1] Pujilah Tuhan, wahai jiwaku. Ya Allahku, Engkau Maha Besar; Engkau penuh kehormatan dan keagungan.
[2] Engkau menyaluti diri-Mu dengan cahaya seperti pakaian; Engkau merentangkan angkasa seperti tirai
[3] Dia mengasaskan lantai ruang-ruang atas-Nya di perairan. Dia menjadikan awan pedati-Nya Dia berjalan di atas sayap angin.
[4] Dia menjadikan para malaikat-Nya sebagai roh, para hamba-Nya nyala api.
[5] Engkau yang meletakkan asas bumi; supaya tidak berganjak selama-lamanya.
[6] Engkau meliputinya dengan lautan dalam seperti dengan pakaian; perairan itu berdiri di atas gunung.
[7] Apabila Kaumurkai, ia lari, mendengar suara guruh-Mu, ia segera pergi;
[8] perairan itu telah naik ke atas pergunungan, ia turun ke pelembahan, ke tempat yang Kauasaskan baginya.
[9] Engkau telah menentukan sempadan yang tidak boleh dilaluinya; supaya ia tidak kembali meliputi bumi.
[10] Dia menghantar mata air ke pelembahan; yang mengalir di antara bukit-bukau.
[11] Mata air memberikan minuman kepada setiap binatang di padang; keldai-keldai liar menghilangkan dahaganya.
[12] Di sisinya burung-burung angkasa membuat sarang; dan menyanyi di cabang-cabang pokok.
[13] Dia mengairi bukit-bukau dari ruang-ruang atas-Nya; bumi berpuas dengan buah hasil kerja-Nya.
[14] Dia membuat rumput tumbuh untuk lembu ternakan, dan pelbagai tanaman bagi kegunaan manusia – untuk membolehkannya menghasilkan makanan dari bumi:
[15] air anggur yang menyukakan hati manusia, minyak untuk menyerikan mukanya, dan roti yang meneguhkan hati manusia.
[16] Pokok-pokok Tuhan segar dan subur, pokok-pokok araz di Lebanon yang ditanam-Nya.
[17] Di situ burung-burung membuat sarangnya; burung ranggung tinggal di pokok sanubar.
[18] Bukit-bukit tinggi untuk kambing liar; curaman-curaman tempat landak bernaung.
[19] Dia menentukan bulan untuk menandakan musim, matahari tahu bila waktu untuknya terbenam.
[20] Engkau mencipta kegelapan, maka menjadi malam, masa untuk binatang-binatang hutan merayau.
[21] Singa-singa muda mengaum mencari mangsa dan memohon makannya daripada Allah.
[22] Apabila matahari terbit; mereka berhimpun lalu baring di gua mereka.
[23] Manusia keluar ke tempat kerjanya, dan memerah tenaga hingga lewat petang.
[24] Ya Tuhan, sungguh beraneka hasil kerja-Mu! Dengan bijaksana Engkau telah mencipta segala-galanya; bumi penuh dengan milik-Mu.
[25] Laut yang besar dan luas, yang tidak terkira banyak isi di dalamnya – makhluk hidup yang kecil dan besar.
[26] Di situ kapal-kapal belayar, dan Lewiatan yang telah Kaujadikan untuk bermain di sana.
[27] Semuanya menantikan-Mu bahawa Engkau akan memberi mereka makanan pada waktu yang ditentukan.
[28] Apa yang Kauberikan, mereka kumpulkan; Engkau membuka genggaman tangan-Mu, penuh dengan segala yang baik.
[29] Engkau menyembunyikan wajah-Mu, mereka menanggung kesusahan; Engkau mengambil nafas mereka, lalu mereka mati dan kembali menjadi debu.
[30] Engkau menghantar Roh-Mu, lalu mereka dicipta, dan Engkau membaharui muka bumi.
[31] Semoga kemuliaan Tuhan kekal selama-lamanya; semoga Tuhan bergembira dengan hasil kerja-Nya –
[32] Dia memandang bumi, lalu bumi gementar, Dia menyentuh bukit, lalu bukit berasap.
[33] Aku akan menyanyi untuk Tuhan sepanjang hayatku; aku akan menyanyikan pujian untuk Allahku selagi aku hidup.
[34] Semoga renunganku baik di sisi-Nya, aku akan bersukacita kerana Tuhan.
[35] Semoga orang berdosa dihapuskan dari bumi dan orang zalim tiada lagi. Pujilah Tuhan, wahai jiwaku. Pujilah Tuhan!