Skip to content
Opens in a new window

[1] Kemudian Ayub menjawab,

[2] “Ya, aku telah mendengar semuanya dahulu. Tetapi bagaimanakah manusia boleh menang dalam perkaranya terhadap Allah?

[3] Bagaimanakah orang boleh berbantah dengan Dia? Seribu soalan boleh diajukan oleh Allah, tetapi satu pun tidak dapat dijawab oleh sesiapa.

[4] Allah amat bijak dan berkuasa sehingga tiada seorang pun dapat menentang Dia.

[5] Dia memindahkan gunung dengan tiba-tiba, dan memusnahkannya ketika murka.

[6] Allah menggempakan bumi dan menggegarkan tanah; Dia menggoyangkan tiang penyangga dunia.

[7] Allah dapat melarang matahari terbit, dan melarang bintang-bintang bersinar pada waktu malam.

[8] Tiada sesiapa yang menolong Allah membentangkan langit, ataupun memijak belakang naga laut.

[9] Allah menempatkan bintang-bintang di langit; Biduk, Orion, Kartika, dan bintang-bintang selatan.

[10] Kita tidak dapat memahami perbuatan besar Allah, dan mukjizat-Nya tidak terkira.

[11] Allah lalu di depanku, tetapi aku tidak nampak Dia. Dia lalu di sampingku, tetapi bagiku tidak nyata.

[12] Dia mengambil apa yang dikehendaki-Nya, dan tiada sesiapa pun dapat menahan Dia; tiada sesiapa berani bertanya kepada-Nya, “Engkau sedang buat apa?”

[13] Allah tidak menahan kemurkaan-Nya. Dia menghancurkan musuh-Nya, mereka yang menolong Rahab menentang Allah.

[14] Oleh itu, bagaimanakah aku dapat membantah Allah, dan mencari perkataan untuk menjawab Dia?

[15] Sungguhpun aku tidak bersalah, apa dayaku kecuali mohon belas kasihan daripada Allah, pengadilku?

[16] Jika Dia mengizinkan aku bercakap, aku tidak percaya Dia akan mendengar aku.

[17] Dia meremukkan aku dengan ribut taufan, dan menambah lukaku tanpa alasan.

[18] Dia tidak membenarkan aku menarik nafas; Dia memenuhi hidupku dengan kepahitan.

[19] Haruskah aku mengadu tenaga dengan Dia? Lihatlah, betapa hebatnya kekuatan-Nya. Dapatkah aku membawa Dia ke mahkamah? Siapakah yang dapat membuat Dia pergi?

[20] Aku setia dan tidak bersalah, tetapi kata-kataku kedengarannya salah, setiap kata yang keluar dari mulutku seolah-olah menyalahkan diriku.

[21] Aku tidak bersalah, tetapi sekarang aku tidak peduli. Aku bosan hidup. Tidak ada yang penting lagi. Sama ada kita benar atau salah, Allah akan membinasakan kita.

[23] Apabila orang yang tidak bersalah, mati dengan tiba-tiba, Allah ketawa sahaja.

[24] Allah telah memberikan dunia ini kepada orang durjana, dan menjadikan semua hakim buta. Allah yang melakukan semua ini. Kalau bukan Dia, siapa lagi?

[25] Hari-hariku berlalu dengan cepat sekali, tetapi tiada satu hari pun yang menyenangkan hati.

[26] Seperti perahu laju, hidupku berlalu, secepat helang menyambar mangsanya.

[27] Jika aku tersenyum dan cuba melupakan derita, segala dukaku kembali memburu aku; aku tahu bahawa Allah menyalahkan aku.

[29] Allah telah menyalahkan aku, peduli apa aku?

[30] Tiada sabun yang dapat menghilangkan dosaku.

[31] Allah melemparkan aku ke dalam kotoran, hingga pakaianku pun menganggap aku menjijikkan.

[32] Sekiranya Allah itu manusia, aku akan dapat menjawab Dia; kami akan pergi ke tempat pengadilan untuk membicarakan pertengkaran.

[33] Tetapi tiada sesiapa yang dapat menjadi pengantara yang dapat mengadili kami berdua.

[34] Ya Allah, berhentilah menghukum aku, berhentilah menakutkan aku.

[35] Aku tidak takut kepada-Nya dan akan bercakap kini, kerana aku kenal akan hatiku sendiri.

Ayub — Chapters