Skip to content
Opens in a new window

[1] Dengan sumpah aku telah berjanji, tidak memandang gadis muda dengan berahi.

[2] Apakah yang dilakukan Allah Yang Maha Kuasa kepada kita? Bagaimanakah Dia membalas perbuatan manusia?

[3] Dia mendatangkan kecelakaan dan kemusnahan kepada mereka yang melakukan kesalahan.

[4] Allah tahu segala perbuatanku; Dia melihat setiap langkahku.

[5] Aku bersumpah bahawa aku tidak pernah bertindak curang, dan aku tidak pernah menipu orang.

[6] Biarlah Allah menimbang aku dengan penimbang yang sah, dan Dia akan tahu bahawa aku tidak bersalah.

[7] Jika aku telah berpaling dari jalan yang benar, atau hatiku tertarik kepada hal yang cemar, jika tanganku kotor kerana dosa,

[8] maka biarlah orang lain makan apa yang aku tabur, dan biarlah seluruh tanamanku hancur.

[9] Jika aku tertarik kepada isteri jiranku, dan menanti dia sambil bersembunyi di balik pintu,

[10] maka biarlah isteriku memasak makanan lelaki lain, dan tidur di katil lelaki lain.

[11] Dosa seperti itu jahat sekali, dan orang yang melakukannya patut dihukum mati.

[12] Dosa itu membinasakan seperti api neraka, membakar segala yang aku miliki.

[13] Apabila hambaku mengadu kerana haknya kusalahi, aku mendengar dan memperlakukan dia dengan tulus hati.

[14] Jika tidak, bagaimana aku dapat menghadap Allah? Apakah yang dapat aku katakan ketika aku diadili Allah?

[15] Allah yang menciptakan aku, juga menciptakan hamba-hambaku.

[16] Aku belum pernah enggan menolong orang yang papa, dan belum pernah membiarkan balu hidup putus asa.

[17] Aku belum pernah membiarkan anak yatim piatu kelaparan, sedang aku sendiri cukup makanan.

[18] Aku seperti bapa kepada anak yatim piatu, aku selalu membela balu.

[19] Ketika aku bertemu dengan orang yang berkekurangan, yang terlalu miskin untuk membeli pakaian,

[20] aku memberinya pakaian daripada bulu dombaku sendiri, maka dia akan memuji aku dengan sepenuh hati.

[21] Jika aku pernah menipu anak yatim piatu kerana aku tahu bahawa aku akan memenangi perkaraku,

[22] biarlah lenganku dipatahkan, sehingga dari bahuku dipisahkan.

[23] Oleh sebab aku takut terhadap hukuman Allah, aku tidak sekali-kali berani melakukan hal itu.

[24] Aku tidak pernah bergantung pada kekayaanku,

[25] ataupun membanggakan hartaku.

[26] Aku tidak pernah menyembah matahari yang bersinar cerah, ataupun bulan yang bercahaya indah.

[27] Aku tidak pernah terpikat kepada semuanya, dan tidak pernah mencium tanganku untuk menghormati semuanya.

[28] Dosa itu patut dijatuhi hukuman mati, kerana Allah Yang Maha Kuasa diingkari.

[29] Aku tidak pernah gembira ketika musuhku menderita, dan tidak pernah suka apabila mereka ditimpa bencana.

[30] Aku tidak pernah mendoakan kematian mereka; aku tidak pernah berdosa begitu.

[31] Semua orang yang bekerja untuk aku tahu bahawa orang yang tidak kukenal, aku jamu di rumahku.

[32] Rumahku terbuka kepada pengembara, dan aku tidak pernah membiarkan mereka tidur di jalan raya.

[33] Orang lain cuba menyembunyikan dosa, tetapi aku tidak berbuat seperti mereka.

[34] Pendapat umum tidak aku takuti, dan penghinaan orang tidak kupeduli; aku tidak pernah tinggal di rumah atau diam sahaja, kerana takut akan cacian mereka.

[35] Tiadakah sesiapa yang mahu mendengar kata-kataku? Aku bersumpah bahawa setiap perkataanku benar. Biarlah Allah Yang Maha Kuasa menjawab aku. Jika semua tuduhan lawanku dituliskan supaya aku dapat melihatnya,

[36] maka aku akan memasangnya pada bahu, dan mengenakannya seperti mahkota pada kepalaku.

[37] Aku akan memberitahu Allah segala yang telah kulakukan, dan menghadap Dia dengan yakin dan kepala terangkat.

[38] Jika aku telah mencuri tanah yang aku bajak, dan aku telah merampasnya daripada pemilik yang sebenar,

[39] jika aku makan hasil tanahnya dan membiarkan petani yang menanamnya kelaparan dan merana,

[40] biarlah yang tumbuh di situ, lalang dan duri, dan bukan gandum ataupun barli.” Sekianlah kata-kata Ayub.

Ayub — Chapters