Skip to content
Opens in a new window

[1] Kemudian Zofar dari negeri Naamah berkata,

[2] “Tiadakah sesiapa mahu menjawab segala cakap kosong itu? Dapatkah orang dibenarkan dengan cakap yang banyak itu?

[3] Ayub, adakah engkau berfikir bahawa kami tidak dapat menjawabmu, dan bahawa kami bungkam kerana ejekanmu?

[4] Engkau berpendapat bahawa kata-katamu tidak salah, dan bahawa engkau suci di hadapan Allah.

[5] Aku sangat berharap agar Allah menjawab engkau!

[6] Dia akan memberitahu engkau bahawa hikmat itu banyak seginya; ada perkara yang terlalu dalam bagi manusia. Allah menghukum engkau lebih ringan daripada yang sepatutnya.

[7] Dapatkah engkau memahami hal-hal yang dalam tentang Allah? Dapatkah engkau menyelami batas keagungan Yang Maha Kuasa?

[8] Keagungan Allah lebih tinggi daripada angkasa, dan engkau tidak dapat mencapainya. Keagungan-Nya lebih dalam daripada dunia orang mati, dan engkau tidak dapat memahaminya.

[9] Keagungan Allah lebih luas daripada bumi, lebih lebar daripada samudera.

[10] Jika Allah menangkap dan mengadili engkau, siapakah yang akan menghalangi-Nya?

[11] Allah tahu manusia yang mana tidak berguna; Dia nampak semua perbuatan jahat mereka.

[12] Orang bodoh akan mula menjadi bijak, apabila keldai liar dilahirkan jinak.

[13] Ayub, bersihkanlah hatimu, bertaubatlah. Angkatlah tangan dan berdoalah kepada Allah.

[14] Berhentilah berbuat dosa, dan jauhkanlah kejahatan daripada rumah tanggamu.

[15] Kemudian hadapilah hidup dengan hati nurani yang bersih; engkau akan tabah dan teguh hati.

[16] Maka kesusahanmu tidak lagi engkau kenang, seperti banjir yang sudah surut dan dilupakan orang.

[17] Kehidupanmu akan menjadi lebih terang daripada sinar matahari waktu siang, dan saat-saat gelap dalam hidupmu akan bersinar seperti pada waktu subuh.

[18] Engkau akan hidup dengan selamat dan penuh harapan; Allah akan melindungi engkau sehingga engkau berehat dengan aman.

[19] Engkau tidak akan takut terhadap musuh; banyak orang akan minta tolong kepadamu.

[20] Tetapi orang jahat akan melihat di sekeliling dan berasa bingung; mereka tidak menemui jalan keluar. Satu-satunya harapan mereka adalah menghembus nafas terakhir.”

Ayub — Chapters