Skip to content
Opens in a new window

[1] Tahukah engkau waktunya kambing gunung dilahirkan induknya? Pernahkah engkau melihat rusa liar melahirkan anaknya?

[2] Tahukah engkau lamanya kambing dan rusa mengandung? Tahukah engkau saatnya kelahiran anaknya?

[3] Tahukah engkau waktunya binatang itu meringkuk, dan melahirkan anak?

[4] Anak haiwan membesar dan menjadi kuat di hutan; lalu pergi jauh dan tidak kembali kepada induknya.

[5] Siapakah yang memberikan keldai liar kebebasan? Siapakah yang melepaskan serta membiarkan keldai liar berkeliaran?

[6] Akulah yang memberikan gurun kepada keldai liar sebagai kediamannya, dan padang garam untuk tempat tinggalnya.

[7] Keldai liar menjauhi kota yang riuh-rendah, dan tidak boleh dijinakkan untuk membuat kerja.

[8] Padang rumput di gunung ialah tempat makanannya, di situ tumbuhan hijau dicarinya.

[9] Mahukah lembu liar bekerja untukmu, atau rela bermalam di dalam kandang ternakmu?

[10] Dapatkah lembu liar diikat dan dipaksa membajak untukmu, atau digunakan untuk menggaru ladangmu?

[11] Dapatkah engkau bergantung kepada tenaga lembu liar yang kuat dan mengharapkannya membuat kerjamu yang berat?

[12] Adakah engkau mengharapkan lembu liar untuk mengumpulkan tuaian, dan membawa hasil tanamanmu ke tempat mengirik?

[13] Sungguh cepat kepakan sayap burung unta! Tetapi burung unta tidak dapat terbang seperti burung bangau.

[14] Burung unta bertelur di tanah lalu meninggalkannya, dan pasir memanaskan telurnya.

[15] Burung unta tidak sedar bahawa mungkin orang memijak telurnya, ataupun binatang liar memecahkan telurnya.

[16] Burung unta bertindak seolah-olah telur itu bukan kepunyaannya, dan tidak peduli bahawa usahanya sia-sia sahaja.

[17] Akulah yang membuat burung unta bodoh dan bebal, dan Aku tidak memberinya hikmat dan akal.

[18] Tetapi apabila burung unta berlari dengan kencang, maka kalahlah kuda serta penunggang.

[19] Hai Ayub, engkaukah yang memberikan tenaga kepada kuda, dan menjadikan surai yang melambai-lambai pada tengkuknya?

[20] Engkaukah yang menyuruh kuda melompat seperti belalang dan dengan dengusnya menakutkan orang?

[21] Kuda menghentak tanah di lembah dengan gembira, dan meluru ke medan pertempuran dengan sepenuh tenaga.

[22] Kuda tidak tahu ertinya takut, dan tidak dapat diundurkan dengan pedang.

[23] Senjata yang dibawa penunggangnya gemerincing dan gemerlapan kena cahaya.

[24] Dengan semangat yang menyala-nyala kuda berlari, dan tidak dapat berdiri diam apabila trompet berbunyi.

[25] Kuda berdengus setiap kali trompet dibunyikan; dari jauh tercium olehnya bau peperangan, dan didengarnya perwira memekikkan arahan.

[26] Adakah daripada engkau burung rajawali belajar terbang, ketika menuju ke selatan dengan sayap terkembang?

[27] Adakah burung helang menantikan suruhanmu untuk membina sarangnya di gunung yang tinggi?

[28] Di atas gunung batu yang tertinggi burung helang membina kediamannya, dan menjadikan puncak-puncak yang runcing sebagai kubunya.

[29] Dari situ burung helang mengawasi segala arah, matanya mengintai mencari mangsa.

[30] Di tempat yang ada bangkai, di situlah burung helang berkumpul; dan anak-anak helang meminum darah mangsa.

Ayub — Chapters