[1] Kemudian Ayub menjawab,
[2] “Mengapakah kamu terus mengecam aku, dan menyeksa aku dengan perkataan kamu?
[3] Berulang-ulang kamu menghina aku, dan menyalahkan aku tanpa rasa malu.
[4] Seandainya salah perbuatanku, hal itu tidak merugikan kamu.
[5] Kamu berfikir bahawa kamu lebih baik daripada aku, dan kamu menganggap kesusahanku sebagai bukti kesalahanku.
[6] Ketahuilah bahawa Allah yang menyalahkan aku. Dia telah memasang perangkap untuk menangkap aku.
[7] Aku berseru, ‘Kejam!’ tetapi tidak ada yang mendengarkan; aku berseru minta tolong, tetapi tidak ada keadilan.
[8] Allah telah menutup jalanku sehingga aku tidak dapat lewat; Dia telah meliputi jalanku dengan kegelapan yang pekat.
[9] Dia telah merampas segala kekayaanku, dan merosakkan nama baikku.
[10] Dia menghentam aku dari segala arah. Dia mencabut harapanku seperti orang mencabut pokok kayu.
[11] Kemurkaan Allah terhadapku menyala-nyala, dan aku dianggap-Nya sebagai musuh-Nya.
[12] Dia menghantar tentera-Nya untuk menyerang aku; mereka menghalangi jalanku dan mengepung khemahku.
[13] Allah menjauhkan saudaraku daripada aku; aku menjadi orang asing kepada kenalanku.
[14] Saudara maraku telah meninggalkan aku, dan sahabat-sahabatku tidak mengingat aku.
[15] Orang yang pernah menginap di rumahku telah melupakan aku; aku dianggap sebagai orang asing oleh hamba perempuanku.
[16] Apabila aku memanggil hambaku, dia tidak menjawab walaupun aku mohon pertolongannya.
[17] Isteriku tidak tahan bau nafasku, saudara kandungku sendiri tidak mahu menghampiri aku.
[18] Bahkan kanak-kanak pun menghina aku, dan tertawa apabila melihat aku.
[19] Sahabat karibku jijik melihat aku, mereka yang sangat aku kasihi meninggalkan aku.
[20] Badanku hanya tinggal kulit pembalut tulang; nyawaku hampir melayang.
[21] Kamu sahabat-sahabatku! Kasihanilah aku! Tangan Allah telah memukul aku.
[22] Mengapa kamu mengikut Allah menganiaya aku? Belum cukupkah kamu menyeksa aku?
[23] Alangkah baiknya jika kata-kataku dicatat, dan ditulis di dalam kitab supaya diingat;
[24] ataupun dipahat pada batu, agar kekal sepanjang waktu.
[25] Tetapi aku tahu bahawa di syurga ada Penyelamatku; akhirnya Dia akan datang menolong aku.
[26] Walaupun kulitku habis dimakan penyakit, tetapi aku akan melihat Allah selagi aku bertubuh.
[27] Aku akan melihat Dia dengan mataku sendiri, dan bagiku Dia tidak menjadi asing lagi. Hatiku hancur kerana kamu berkata,
[28] ‘Bagaimanakah kita dapat menyeksa dia?’ Kamu mencari alasan untuk menyerang aku.
[29] Tetapi sekarang, takutlah pada pedang, kerana Allah murka dan menghukum orang berdosa; maka tahulah kamu bahawa Allah mengadili manusia.”