[1] Kemudian Ayub menjawab,
[2] “Jika kesusahan dan kesedihanku ditimbang beratnya,
[3] pasti lebih berat daripada pasir samudera. Perkataanku yang melulu tidak seharusnya memeranjatkan kamu.
[4] Allah Yang Maha Kuasa telah memanah aku, dan racunnya merebak ke seluruh tubuhku. Allah menyerang aku seperti pasukan lawan, maka aku sangat ketakutan.
[5] Keldai berasa puas apabila makan rumput muda, dan lembu juga diam apabila diberikan makanannya.
[6] Tetapi makanan yang tawar tanpa garam, siapa suka? Adakah putih telur mempunyai rasa?
[7] Aku tidak berselera untuk makan, dan segala makanan memuakkan.
[8] Mengapakah Allah tidak mengabulkan permohonanku? Mengapakah Dia tidak menjawab doaku?
[9] Kalaulah Allah berkenan meremukkan aku, kalaulah Dia bertindak dan membunuh aku,
[10] aku akan melompat keriangan, walaupun aku sangat kesakitan. Aku tahu bahawa Allah suci adanya; aku tidak pernah membantah perintah-Nya.
[11] Apa kekuatanku untuk terus hidup? Mengapa terus hidup jika aku tidak mempunyai harapan?
[12] Adakah badanku sekuat batu? Adakah tubuhku daripada gangsa?
[13] Aku tiada tenaga lagi untuk menyelamatkan diriku; tiada pertolongan lagi bagiku.
[14] Pada waktu kesusahan seperti ini, aku memerlukan sahabat yang sejati, sama ada aku masih setia kepada Allah atau telah meninggalkan Dia.
[15] Tetapi kamu, sahabat-sahabatku, tidak dapat dipercayai, seperti anak sungai yang kering apabila hujan tidak kunjung tiba.
[16] Kamu seperti sungai yang diam dan beku, yang tertutup dengan salji dan air batu.
[17] Apabila musim panas tiba, salji dan air batu hilang tanpa bekas; dan dasar anak sungai menjadi kering dan tandus.
[18] Kafilah sesat semasa mencari air; mereka mengembara dan mati di padang pasir.
[19] Kafilah dari Syeba dan Tema datang mencari air itu dan mengharapkannya.
[20] Tetapi harapan mereka hilang di tepi anak sungai yang kering.
[21] Bagiku, kamu seperti anak sungai itu; kamu takut apabila melihat deritaku.
[22] Adakah aku minta hadiah daripada kamu, ataupun menyuruh kamu menyuap orang demi kepentinganku?
[23] Adakah aku minta diselamatkan daripada musuh yang tidak berbelas kasihan?
[24] Baiklah, ajarlah aku dan tunjukkanlah kesalahanku. Aku akan diam dan mendengarkan kamu.
[25] Kata-kata yang tulus meyakinkan, tetapi kamu mengatakan yang bukan-bukan.
[26] Kamu berfikir bahawa aku bercakap kosong sahaja; jika demikian mengapa kamu menegur aku yang sudah putus asa?
[27] Kamu bersedia bertaruh untuk menentukan nasib yatim piatu, dan kamu mencurangi sahabat karib untuk menjadi kaya.
[28] Pandanglah mukaku. Aku tidak membohongi kamu.
[29] Jangan berlaku tidak adil, insaflah! Jangan cela aku, kerana aku tidak bersalah.
[30] Tetapi kamu masih berfikir bahawa aku berdusta, dan tidak dapat membezakan antara benar dan salah.