[1] Kemudian Elifas menjawab,
[2] “Cakap kosong, Ayub! Engkau bercakap kosong!
[3] Tiada orang bijak akan bercakap seperti engkau, ataupun membela dirinya dengan kata-kata yang tidak bermakna.
[4] Engkau menawarkan hati orang yang takut kepada Allah; engkau menghalang mereka berdoa kepada-Nya.
[5] Kata-katamu membuktikan bahawa engkau bersalah, tetapi kejahatanmu engkau tutup dengan kata-kata licik.
[6] Tidak payahlah aku menyalahkan engkau; engkau telah disalahkan oleh setiap katamu sendiri.
[7] Adakah engkau berfikir bahawa engkau orang yang pertama dilahirkan? Adakah engkau hadir ketika gunung diciptakan?
[8] Adakah engkau mendengar rancangan yang dibuat oleh Allah? Adakah engkau sahaja yang memiliki hikmat manusia?
[9] Segala yang engkau ketahui, kami ketahui juga; segala yang engkau fahami, jelas pula bagi kami.
[10] Kami mendapat hikmat daripada orang yang beruban, mereka sudah ada sebelum bapamu dilahirkan.
[11] Mengapakah penghiburan Allah enggan engkau terima? Kami bercakap dengan sabar dan lembut bagi pihak-Nya.
[12] Mengapakah engkau terbawa-bawa oleh perasaan, dan mengapakah matamu menyala-nyala,
[13] sehingga engkau marah kepada Allah dan mengecam Dia?
[14] Adakah manusia betul-betul tidak bercela? Dapatkah manusia dibenarkan di hadapan Allah?
[15] Bahkan kepada malaikat-Nya pun Allah tidak percaya; malaikat-malaikat pun tidak suci di sisi-Nya.
[16] Apalagi manusia yang jijik dan tidak berguna, yang meneguk kejahatan seperti air sahaja.
[17] Sekarang dengarlah, hai Ayub, akan apa yang aku ketahui.
[18] Orang bijaksana telah mengajar aku hal itu, yang diterima mereka daripada nenek moyang dahulu.
[19] Pada waktu itu tiada orang asing di tanah mereka, tiada seorang pun yang menyebabkan mereka meninggalkan Allah.
[20] Orang jahat ditimpa penderitaan sepanjang masa, orang ganas akan hidup terseksa sepanjang umur mereka.
[21] Mereka akan mendengar suara yang menakutkan, dan perompak akan menyerang mereka pada masa yang aman.
[22] Mereka tidak dapat mengelakkan kegelapan, kerana pembunuh yang berpedang mengejar mereka pada setiap kesempatan.
[23] Burung nasar menunggu untuk makan mayat mereka; mereka tahu bahawa mereka akan binasa.
[24] Mereka cemas dan amat menderita seperti diserang oleh raja perkasa.
[25] Begitulah kesudahan orang yang berani melawan Allah, dan mencabar Yang Maha Kuasa.
[26] Mereka sombong dan suka memberontak; dengan degil mereka mengangkat perisai dan tergesa-gesa melawan Allah.
[28] Itulah orang yang telah menaklukkan kota-kota, dan merampas rumah-rumah yang sudah ditinggalkan. Kota-kota itu sudah ditentukan untuk tetap menjadi reruntuhan.
[29] Mereka tidak akan tetap kaya untuk waktu yang lama; segala milik mereka tidak akan kekal. Bahkan bayang-bayang mereka pun akan lenyap,
[30] dan mereka tidak akan terlepas daripada kegelapan. Mereka akan menjadi seperti pokok yang cabangnya dibakar api; mereka akan dimusnahkan oleh hembusan nafas Allah.
[31] Jika mereka percaya kepada yang tidak berguna, yang akan diterima mereka tidak berguna juga.
[32] Sebelum masanya, mereka akan mati, seperti cabang layu yang tidak menghijau lagi.
[33] Mereka seperti pokok anggur yang gugur buahnya, dan seperti pokok zaitun yang jatuh bunganya.
[34] Orang yang tidak mengenal Allah tidak akan berketurunan, dan api akan memusnahkan rumah yang dibina daripada hasil suapan.
[35] Itulah orang yang merancang serta melakukan kejahatan; hati mereka sentiasa penuh dengan penipuan.”