Skip to content
Opens in a new window

[1] Ayub berkata,

[2] “Demi Allah Yang Maha Kuasa, Allah yang hidup, yang enggan memberi aku keadilan dan yang memedihkan hidupku,

[3] aku bersumpah: Selagi Allah memberikan nafas kepadaku, selagi nyawa dikandung badanku,

[4] bibirku tidak sekali-kali akan menyebut kata dusta, dan lidahku tidak akan mengucap tipu daya.

[5] Aku tidak akan mengatakan kamu benar; sampai mati pun aku tetap mengatakan aku tidak bersalah.

[6] Aku tidak akan berhenti berkata bahawa aku benar; hati nuraniku tidak menyalahkan aku.

[7] Biarlah musuhku dihukum seperti orang durjana, dan orang yang melawan aku dihukum seperti penderhaka.

[8] Apakah harapan orang durjana apabila Allah menuntut nyawa mereka?

[9] Apabila kesusahan tiba, mahukah Allah mendengarkan teriakan mereka?

[10] Seharusnya mereka mengingini kegirangan daripada Allah, dan seharusnya mereka selalu berdoa kepada-Nya.

[11] Biarlah aku mengajar kamu betapa besarnya kuasa Allah, dan menerangkan rancangan Allah Yang Maha Kuasa.

[12] Kamu telah melihat semua itu dengan mata kamu sendiri. Oleh itu, mengapakah kamu mengatakan yang bukan-bukan ini?”

[13] “Lihatlah bagaimana Allah Yang Maha Kuasa menghukum orang yang kejam dan durjana.

[14] Jika anak lelaki mereka banyak, semuanya akan mati dalam peperangan; anak-anak mereka tidak pernah cukup makan.

[15] Mereka yang hidup akan mati kerana wabak, dan balu mereka tidak akan menangisi mereka.

[16] Perak orang jahat bertimbun-timbun, dan pakaian mereka bersusun-susun,

[17] tetapi orang baik akan memakai pakaian itu, dan orang jujur akan mendapat perak itu.

[18] Rumah yang dibina orang jahat rapuh seperti sarang labah-labah, hanya rumah sementara seperti pondok penjaga ladang.

[19] Untuk kali terakhir, mereka membaringkan diri sebagai orang kaya, apabila mereka bangun, hilanglah segala kekayaan mereka.

[20] Seperti banjir yang datang dengan tiba-tiba, kedahsyatan menimpa mereka; angin pada waktu malam akan meniup mereka.

[21] Angin timur mengangkat mereka, dan menyapu mereka dari rumah.

[22] Dengan tidak mengenal kasihan, angin melanda mereka, dan mereka terpaksa lari mencari perlindungan.

[23] Angin mendesing-desing seperti kata-kata ejekan terhadap mereka, di mana-mana pun mereka dihina.”

Ayub — Chapters