Skip to content
Opens in a new window

[1] Kemudian Zofar menjawab,

[2] “Ayub, aku berasa tersinggung olehmu; kini aku ingin segera memberikan jawapanku.

[3] Kata-katamu sungguh menghina, tetapi aku tahu menjawabnya.

[4] Tentu engkau tahu bahawa sejak zaman purba, sejak manusia mula-mula ditempatkan di bumi,

[5] kebahagiaan orang jahat tidak tahan lama; kegembiraan orang derhaka seketika sahaja.

[6] Walaupun kebesaran mereka sampai ke angkasa, sehingga kepala mereka sampai ke mega,

[7] namun mereka akan lenyap selama-lamanya, menghilang dari dunia dengan cara yang terhina. Orang yang telah mengenal mereka akan bertanya, ‘Ke mana mereka pergi?’

[8] Mereka akan hilang seperti mimpi, lenyap seperti penglihatan pada malam hari.

[9] Mereka tidak lagi kelihatan; mereka tiada lagi di tempat tinggal mereka.

[10] Anak-anak mereka akan mengganti apa sahaja yang telah dicuri mereka daripada orang papa.

[11] Dahulu badan mereka muda dan perkasa, tetapi mereka akan menjadi debu belaka.

[12] Kejahatan sungguh manis bagi mereka, sehingga disimpan di dalam mulut untuk dinikmati mereka.

[14] Tetapi di dalam perut makanan itu menjadi pahit, seperti racun yang mendatangkan maut.

[15] Mereka memuntahkan kekayaan yang telah dicuri mereka; Allah mengeluarkannya bahkan dari dalam perut mereka.

[16] Apa yang ditelan orang jahat seperti racun yang membawa bencana; mereka mati seperti dipatuk ular berbisa.

[17] Mereka tidak akan menikmati minyak zaitun yang berlimpah, ataupun susu dan madu yang bertumpah-ruah.

[18] Mereka harus menyerahkan segala yang telah dikerjakan mereka; mereka tidak berpeluang menikmati kekayaan mereka,

[19] sebab mereka telah menindas dan membiarkan orang miskin, dan merampas rumah yang dibina orang lain.

[20] Ketamakan mereka tidak mengenal batas, maka mereka tidak akan pernah puas.

[21] Apabila mereka makan, tidak pernah ada sisa, tetapi, kini berakhirlah kemakmuran mereka.

[22] Pada puncak kejayaan mereka, duka dan derita datang menimpa mereka.

[23] Semasa mereka makan segala yang dikehendaki mereka, Allah akan menjadi murka dan menghukum mereka.

[24] Apabila mereka cuba mengelakkan diri daripada pedang besi, panah gangsa akan melukakan mereka.

[25] Anak panah menembusi badan mereka; hujung panah yang berkilat menitiskan darah mereka, dan ketakutan akan mencengkam hati mereka.

[26] Segala yang telah dikumpulkan mereka musnah; api yang tidak dinyalakan tangan manusia membakar mereka serta semua keluarga mereka.

[27] Langit menyatakan dosa mereka, dan bumi bangkit melawan mereka.

[28] Segala kekayaan mereka akan musnah kerana dilanda kemurkaan Allah.

[29] Begitulah kesudahan orang yang durjana, kesudahan yang ditentukan Allah bagi mereka.”

Ayub — Chapters