[1] Dapatkah engkau menangkap Lewiatan dengan mata kail? Dapatkah engkau mengikat lidahnya dengan tali?
[2] Dapatkah engkau memasang tali pada muncungnya, atau mencucukkan kail pada rahangnya?
[3] Mungkinkah Lewiatan memohon untuk dilepaskan atau merayu kepadamu, minta belas kasihan?
[4] Mungkinkah Lewiatan membuat persetujuan dengan engkau, dan berjanji melayan engkau selalu?
[5] Mungkinkah engkau mengikat Lewiatan seperti burung kesayangan, yang menghiburkan hamba-hamba perempuan?
[6] Mungkinkah nelayan memperdagangkannya, atau saudagar membahagi-bahagikannya antara mereka?
[7] Dapatkah engkau menusuk kulitnya dengan serampang, ataupun menikam kepalanya dengan tempuling?
[8] Sentuhlah Lewiatan sekali sahaja dan engkau tidak akan mencuba lagi; engkau tidak akan melupakan perlawanan itu!
[9] Sesiapa yang melihat Lewiatan akan kehilangan semangat dan pengsan.
[10] Lewiatan garang apabila dibangunkan daripada tidurnya; tiada seorang pun berani berdiri di hadapannya.
[11] Siapakah yang dapat menyerangnya tanpa mendapat luka? Tiada sesiapa pun di bumi dapat melakukannya.
[12] Aku akan memberitahu engkau tentang kaki makhluk raksasa itu, dan tentang kekuatannya dan bentuk badannya yang tampan itu.
[13] Tiada sesiapa yang dapat mengoyakkan baju luarnya, atau menembusi baju zirah yang dipakainya.
[14] Siapakah yang dapat membuka muncungnya yang kuat, yang mempunyai gigi yang dahsyat?
[15] Belakangnya seperti perisai yang tersusun, yang terlekat rapat dan keras seperti batu.
[16] Tindih-menindih, terikat erat sehingga angin pun tidak dapat masuk meresap.
[17] Semuanya terlekat dengan sempurna sehingga tidak dapat dipisahkan.
[18] Cahaya berkilau apabila Lewiatan bersin, dan matanya bersinar seperti matahari yang terbit.
[19] Api keluar dari mulutnya, dan bunga api berterbangan.
[20] Asap berkepul-kepul keluar dari hidungnya, seperti periuk yang dipanaskan sehingga isinya mendidih.
[21] Nafasnya menyalakan bara; api keluar dari mulutnya.
[22] Lehernya sangat kuat, sehingga orang yang menemuinya takut.
[23] Tiada bahagian yang lemah pada kulitnya; kulitnya keras dan tidak mungkin pecah.
[24] Hatinya seteguh batu, tidak kenal ketakutan, dan keras seperti batu kisaran.
[25] Apabila Lewiatan bangun, orang terkuat pun hilang keberanian; mereka tidak berdaya kerana sangat ketakutan.
[26] Tiada pedang yang dapat mencederakannya; tiada tombak, panah, atau lembing dapat melukakannya.
[27] Besi dianggapnya seperti jerami, dan gangsa seperti kayu reput.
[28] Tiada panah yang dapat membuatnya lari; batu yang dilemparkan kepadanya, seperti serpihan jerami.
[29] Belantan dianggapnya seperti rumput kering, dan Lewiatan tertawa apabila orang melemparkan lembing.
[30] Sisik pada perutnya seperti tembikar yang kasar dan tajam, seperti alat pengirik yang mengorek lumpur.
[31] Laut dikacaunya sehingga menyerupai air mendidih, dan seperti minyak yang berbuih-buih di dalam periuk.
[32] Ditinggalkannya jejak yang bercahaya, laut diubahnya menjadi buih yang putih warnanya.
[33] Di atas bumi, Lewiatan tiada bandingan; itulah makhluk yang tidak kenal takut.
[34] Binatang yang paling sombong pun dipandangnya hina; antara semua binatang buas, Lewiatanlah raja.”