Skip to content
Opens in a new window

[1] Akhirnya, Ayub mulai bercakap dan mengutuk hari kelahirannya dengan mengatakan,

[2] “Ya Allah, kutuklah hari aku dilahirkan, dan kutuklah malam aku mula dikandung.

[4] Ya Allah, jadikanlah hari itu gelap, hapuskanlah hari itu dari ingatan-Mu; janganlah Engkau biarkan pula cahaya cerah menyinarinya.

[5] Jadikanlah hari itu muram, dan penuh kegelapan; liputilah hari itu dengan awan, dan tudungilah cahaya sang suria.

[6] Biarlah malam itu dihapuskan daripada hitungan tahun dan bulan.

[7] Biarlah malam itu penuh kegelapan, tiada kemesraan, tiada kegembiraan.

[8] Hai tukang sihir, pawang Lewiatan kutuklah hari itu dengan jampi serapah.

[9] Jangan biar bintang fajar bersinar; jangan biar sinar fajar memancar.

[10] Kutuklah malam itu kerana membiarkan aku dilahirkan, dan menyerahkan aku kepada kesusahan dan kesedihan.

[11] Mengapakah aku tidak mati di dalam rahim ibu? Mengapakah aku tidak meninggal pada saat kelahiranku?

[12] Mengapakah aku dipeluk ibu dan dipangkunya? Mengapakah aku disusui pada buah dadanya?

[13] Jika pada waktu itu aku meninggal dunia, tentu pada saat ini aku dapat berehat,

[14] tidur seperti raja dan para pemerintah yang membina semula istana purba.

[15] Tentu aku tertidur seperti putera raja yang mengisi rumah mereka dengan perak dan emas.

[16] Mengapakah aku tidak lahir mati, menutup mata seperti bayi yang meninggal?

[17] Di dalam kubur, penjahat berhenti berbuat jahat, dan pekerja yang lelah melepaskan penat.

[18] Banduan pun menikmati kelegaan, bebas daripada perintah kasar dan tengkingan.

[19] Orang ternama ataupun tidak, semuanya di sana, dan hamba mendapat kebebasan akhirnya.

[20] Mengapakah manusia dibiarkan terus hidup sengsara? Mengapakah orang yang sedih diberikan cahaya?

[21] Mereka menanti maut, tetapi maut tidak kunjung tiba; mereka lebih suka akan kubur daripada sebarang harta.

[22] Kegembiraan hanya dapat dirasakan apabila mereka mati dan dikebumikan.

[23] Allah menyembunyikan masa depan mereka, dan mengepung mereka dari segala arah.

[24] Sebagai ganti makan, aku mengeluh, tidak hentinya aku mengaduh.

[25] Segala yang aku takuti melanda aku; segala yang aku cemaskan menimpa aku.

[26] Aku tidak mendapat ketenteraman, dan kesusahanku tidak berkesudahan.”

Ayub — Chapters