[1] Oleh sebab Ayub yakin bahawa dia tidak bersalah, tiga orang sahabat itu tidak menjawab lagi.
[2] Tetapi di situ ada seorang yang tidak dapat menahan geramnya, kerana Ayub menyalahkan Allah dan mengaku dirinya tidak bersalah. Namanya Elihu anak Barakheel, seorang keturunan Bus, daripada puak Ram.
[3] Dia juga marah terhadap tiga orang sahabat Ayub itu kerana mereka tidak dapat menjawab Ayub, walaupun mereka menyalahkan dia.
[4] Elihu yang termuda antara mereka. Oleh itu dia menunggu sehingga setiap orang sudah bercakap.
[5] Setelah dia melihat tiga orang itu tidak dapat menjawab Ayub, dia menjadi marah
[6] dan berkata demikian, “Aku ini masih muda, sedangkan kamu sudah tua, oleh itu aku takut dan ragu-ragu mengemukakan pendapatku.
[7] Fikirku, biarlah yang sudah lanjut usia bercakap, dan yang lebih tua membahagikan hikmat.
[8] Tetapi sebenarnya Roh Allah Yang Maha Kuasa yang memberikan hikmat kepada manusia.
[9] Orang menjadi bijak, bukan kerana lanjut umurnya; orang mengerti yang benar, bukan kerana tinggi usianya.
[10] Oleh itu, dengarkanlah aku; biarlah aku memberitahu kamu pendapatku.
[11] Aku mendengar dengan sabar ketika kamu bercakap, dan menunggu ketika kamu mencari kata-kata bijak.
[12] Aku memperhatikan dan mendengar kamu menemui kegagalan. Kesalahan dalam kata-kata Ayub tidak dapat kamu buktikan.
[13] Bagaimana kamu dapat mengatakan kamu telah mendapatkan hikmat? Allah mesti menjawab Ayub, kerana kamu telah gagal.
[14] Ayub berkata-kata kepada kamu, bukan kepada aku, tetapi aku tidak sekali-kali akan menjawab seperti kamu.
[15] Ayub, mereka bingung dan tidak dapat memberikan jawapan; tiada lagi yang dapat dikatakan mereka.
[16] Haruskah aku terus menunggu, ketika mereka berdiam diri? Mereka berdiri di situ dan tidak dapat berkata apa-apa lagi.
[17] Tidak, kini aku hendak memberikan pendapatku, dan memberitahu kamu fikiranku.
[18] Aku tidak sabar lagi menunggu. Aku tidak dapat menahan kata-kataku.
[19] Jika aku tidak bercakap, aku akan meletup, seperti kirbat kulit yang berisikan wain baru.
[20] Aku mesti bercakap supaya hatiku tenang; aku mesti membuka mulut dan memberikan jawapan.
[21] Aku tidak akan menyebelahi sesiapa pun; aku tidak akan memuji sesiapa pun.
[22] Cara memuji pun aku tidak tahu. Jika aku berbuat begitu, Allah akan segera menghukum aku.