Skip to content
Opens in a new window

[1] Kemudian Bildad dari negeri Suah berkata,

[2] “Berapa lama lagi engkau bercakap begitu? Hanya cakap angin kata-katamu itu.

[3] Allah tidak pernah memutarbalikkan keadilan; Dia tidak pernah gagal melakukan hal yang benar.

[4] Anak-anakmu tentu telah berdosa terhadap Allah, maka patutlah mereka dihukum oleh-Nya.

[5] Tetapi kini kembalilah kepada Allah, dan merayulah kepada Yang Maha Kuasa.

[6] Jika engkau sungguh tulus dan jujur, Allah akan datang dan menolong engkau serta memulihkan rumah tanggamu sebagai ganjaranmu.

[7] Segala kekayaanmu yang hilang itu tidak bererti, jika dibandingkan dengan apa yang engkau dapat nanti.

[8] Renunglah kebijaksanaan zaman purba; fikirkanlah pengalaman nenek moyang kita.

[9] Hidup kita singkat sekali dan kita tidak tahu apa-apa; kita berlalu seperti bayang-bayang di dunia.

[10] Tetapi hendaklah engkau diajar orang bijak zaman purba; dengarlah kata-kata mereka,

[11] ‘Gelagah tumbuh di tempat berair sahaja, dan mensiang hanya didapati di tanah paya.

[12] Jika air mengering, layulah gelagah, lebih cepat daripada tumbuhan lain. Padahal, gelagah itu masih terlalu muda untuk dipotong dan digunakan.

[13] Begitulah orang yang tidak mengenal Allah; harapan mereka hilang apabila mereka lupa akan Allah.

[14] Mereka berharap kepada benang yang halus, mereka percaya kepada sarang labah-labah.

[15] Kuatkah sarang itu jika dijadikan sandaran? Tahankah benang jika dijadikan pegangan?’

[16] Orang jahat tumbuh seperti rumpai di bawah matahari, seperti rumpai yang berselerak di seluruh taman.

[17] Akarnya melilit batu, dan mencengkam setiap batu itu.

[18] Tetapi setelah rumpai dicabut tiada orang tahu bahawa rumpai pernah di situ.

[19] Memang, itu sahaja keriangan bagi orang jahat; kini orang lain yang mengambil tempat mereka.

[20] Tetapi Allah tidak pernah meninggalkan orang yang setia, Dia tidak pernah menolong orang yang durjana.

[21] Dia akan membiarkan engkau tertawa dan bersorak-sorak dengan gembira,

[22] tetapi orang yang membenci engkau akan dipermalukan, dan tempat kediaman orang jahat akan dimusnahkan.”

Ayub — Chapters