Skip to content
Opens in a new window

[1] Kemudian Bildad menjawab,

[2] “Ayub, tidak bolehkah engkau berhenti bercakap? Jika engkau diam dan mendengar, kami akan bercakap.

[3] Mengapakah engkau berfikir bahawa kami dungu, dan menyamakan kami dengan lembu?

[4] Kemarahan hanya menyakiti dirimu. Adakah bumi kehilangan penduduknya kerana engkau marah? Adakah gunung-gunung dipindahkan dari tempatnya untuk memuaskan hatimu?

[5] Hidup orang jahat yang seperti nyala pelita, akan dipadamkan; mereka seperti api yang tidak lagi menyala.

[6] Mereka seperti khemah yang pelitanya sudah padam; pelita penerang mereka tidak lagi bersinar.

[7] Langkah mereka yang mantap kini terhuyung-huyung; rancangan mereka sendiri menyebabkan mereka jatuh.

[8] Mereka berjalan ke dalam jaring dan kaki mereka tersangkut;

[9] tumit mereka terperangkap sehingga mereka tertangkap.

[10] Jerat tersembunyi di atas tanah; dan perangkap terpasang pada jalan mereka.

[11] Kengerian mengejutkan orang jahat dari segala arah, dan mengikuti mereka setiap langkah.

[12] Dahulu mereka kaya, tetapi kini mereka lapar; bencana selalu menyertai mereka.

[13] Kulit mereka dimakan penyakit yang teruk, lengan dan kaki mereka menjadi busuk.

[14] Mereka dikeluarkan dari khemah tempat tinggal yang aman, dan diheret untuk menghadap kematian.

[15] Kini sesiapa pun boleh tinggal di dalam khemah mereka, setelah direnjis belerang untuk membasmi penyakit!

[16] Akar mereka kering dan kisut, cabang mereka layu dan lisut.

[17] Mereka tidak dikenal lagi di bumi; tiada seorang pun yang mengingati mereka lagi.

[18] Dari tanah orang yang hidup, mereka akan dihalaukan, diusir dari cahaya ke dalam kegelapan.

[19] Mereka tidak mempunyai sanak atau anak cucu, dan tiada lagi yang hidup di tempat mereka dahulu.

[20] Mendengar nasib mereka, penduduk di barat terkejut, dan penduduk di timur gementar kerana takut.

[21] Itulah kesudahan orang derhaka, mereka yang tidak mempedulikan Allah.”

Ayub — Chapters