[1] Kemudian Ayub menjawab,
[2] “Dengarlah apa yang aku katakan; hanya itu yang aku minta sebagai penghiburan.
[3] Bersabarlah apabila aku bercakap; selepas itu, ejeklah aku sesuka hati kamu.
[4] Keluhanku tidak tertuju kepada manusia; tidak mengapalah aku berasa kurang sabar.
[5] Pandanglah aku, maka kamu akan tercengang, kamu akan terkejut dan terdiam.
[6] Apabila aku memikirkan keadaanku ini, aku gementar kerana ngeri.
[7] Mengapa orang jahat panjang umur, dan menjadi makmur?
[8] Mereka mendapat anak dan cucu, dan dapat melihat mereka menjadi dewasa.
[9] Allah tidak mendatangkan bencana pada keluarga mereka; mereka selamat dan aman sentosa.
[10] Ternakan mereka membiak dan beranak tanpa kesulitan.
[11] Anak mereka berlari-lari dengan gembira, dan bermain-main seperti anak domba.
[12] Anak mereka menyanyi dan menari-nari, diiringi bunyi tamburin, seruling, dan kecapi.
[13] Mereka hidup dalam kemakmuran, dan meninggal dengan kesejahteraan.
[14] Orang jahat menyuruh Allah menjauhi mereka; mereka tidak mahu mengetahui kehendak-Nya bagi hidup mereka.
[15] Mereka berfikir bahawa tidak berguna mengabdi kepada Allah dan tidak bermanfaat berdoa kepada-Nya.
[16] Mereka berkata bahawa mereka berjaya kerana usaha mereka; tetapi pendapat mereka itu tidak dapat aku terima.
[17] Pernahkah hidup orang jahat dipadamkan seperti pelita? Pernahkah mereka ditimpa bencana? Pernahkah Allah murka terhadap mereka sehingga Dia menghukum mereka?
[18] Pernahkah mereka menjadi seperti jerami yang ditiup angin, ataupun seperti sekam yang diterbangkan ribut?
[19] Kamu berkata, ‘Allah menghukum anak kerana kesalahan bapanya.’ Tetapi aku berkata, biarlah Allah menghukum orang yang bersalah, supaya mereka sedar bahawa mereka dihukum Allah kerana kesalahan mereka.
[20] Biarlah orang yang bersalah menanggung hukuman mereka; biarlah mereka merasai kemurkaan Yang Maha Kuasa.
[21] Setelah orang meninggal dunia, masihkah mereka peduli akan kebahagiaan keluarga mereka?
[22] Dapatkah manusia mengajar Allah? Bukankah Allah juga yang mengadili makhluk di syurga?
[23] Ada orang yang sihat dan masih penuh tenaga sehingga saat kematian mereka. Mereka meninggal dengan tenang dan bahagia, sedang tubuh mereka masih berdaya.
[25] Ada pula orang yang tidak mempunyai kebahagiaan; mereka hidup lalu mati dengan penuh kepahitan.
[26] Tetapi di dalam kubur mereka semua sama-sama terbaring; dikerumuni oleh ulat dan cacing.
[27] Aku tahu apa yang kamu fikirkan, dan kejahatan terhadap aku yang kamu rancangkan.
[28] Kamu bertanya, ‘Di manakah rumah orang kenamaan, orang yang melakukan kejahatan?’
[29] Belum pernahkah kamu berbual dengan pengembara? Tidakkah kamu percaya akan laporan mereka?
[30] Mereka berkata bahawa orang jahatlah yang selalu terlepas pada hari Allah murka dan menjatuhkan hukuman.
[31] Tiada seorang pun yang menuduh mereka, ataupun membalas perbuatan mereka.
[32] Apabila mereka dibawa ke tanah perkuburan, batu nisan mereka dikawal,
[33] ribuan orang berjalan mengiringi jenazah mereka, dan dengan lembut tanah menimbus jenazah mereka.
[34] Tetapi kamu cuba menghiburkan aku dengan cakap kosong, dan segala jawapan kamu itu bohong!”