[1] Hidup manusia itu seperti kerja paksa; hidupnya susah seperti hidup buruh kasar,
[2] seperti hamba yang merindukan tempat teduh; seperti pekerja yang menantikan upah.
[3] Berbulan-bulan kehidupanku hampa; tiap-tiap malam aku berduka.
[4] Semasa aku tidur, waktu berjalan sangat perlahan; aku rindu akan subuh dan berkalih tidur sepanjang malam.
[5] Tubuhku penuh dengan cacing dan keruping; kulitku luka dan mengeluarkan nanah.
[6] Hidupku berlalu tanpa harapan, berlalu lebih laju daripada penenun menjalankan sekoci.
[7] Ingatlah, ya Allah, hidupku bagaikan hembusan nafas; kebahagiaanku berakhir tanpa bekas.
[8] Engkau melihat aku sekarang, tetapi Engkau tidak akan melihat aku lagi. Jika nanti Engkau mencari aku, aku sudah tiada lagi.
[9] Seperti awan mendung yang meredup dan hilang, manusia mati dan tidak kembali lagi; semua orang yang mengenal mereka tidak lagi mengingati mereka.
[11] Tidak! Aku tidak dapat berdiam. Rasa marah dan sakit hati tidak dapat aku pendam. Aku mesti membuka mulutku, dan mencurahkan isi hatiku.
[12] Mengapakah Engkau mengawal aku? Adakah aku berbahaya seperti naga laut?
[13] Aku berbaring dan cuba berehat untuk melegakan kesakitanku.
[14] Tetapi Engkau menakutkan aku dengan mimpi, dan mengerikan aku dengan penglihatan,
[15] sehingga aku lebih suka dicekik lalu mati daripada hidup dalam tubuh penuh derita ini.
[16] Aku bosan hidup; aku ingin mati. Biarkan aku kerana hidupku tidak bererti lagi.
[17] Mengapakah manusia begitu penting bagi-Mu? Mengapakah Engkau memperhatikan mereka selalu?
[18] Engkau memeriksa manusia setiap pagi, dan menguji mereka setiap saat.
[19] Tidak bolehkah Engkau berpaling daripadaku supaya sempat aku menelan ludahku?
[20] Hai Penjagaku, adakah Engkau disakiti oleh dosaku? Mengapa Engkau menggunakan diriku sebagai sasaran-Mu? Adakah aku ini beban besar bagi-Mu?
[21] Tidak bolehkah Engkau mengampunkan dosaku? Tidak bolehkah Engkau memaafkan kesalahanku? Tidak lama lagi aku akan terbaring di kubur, dan aku tiada lagi apabila Engkau mencari aku.”