[1] Mengapakah Allah tidak menetapkan hari penghakiman, supaya orang yang mengenal Dia mendapat keadilan?
[2] Ada orang memindahkan batu sempadan untuk meluaskan tanah; mereka mencuri domba lalu mengandangkannya dengan ternakan mereka.
[3] Mereka merampas keldai kepunyaan anak yatim piatu, dan sebagai jaminan, mereka mengambil lembu jantan daripada balu.
[4] Mereka menghalang orang miskin mendapat hak mereka sendiri, maka orang papa terpaksa bersembunyi.
[5] Oleh itu seperti keldai liar, orang miskin mencari makanan di padang belukar; di tempat itu sahaja terdapat makanan untuk anak-anak mereka.
[6] Mereka terpaksa memungut gandum di ladang orang lain dan memetik buah anggur di ladang orang durjana.
[7] Mereka tidur tanpa selimut pada waktu malam, tanpa sesuatu untuk menghangatkan badan.
[8] Mereka basah kuyup kerana hujan yang turun di atas gunung, mereka berhimpit-himpit pada bukit batu untuk berlindung.
[9] Orang jahat memperhamba anak-anak yang kehilangan bapa, dan mengambil bayi orang miskin sebagai jaminan.
[10] Orang miskin terpaksa keluar tanpa pakaian; ketika menuai gandum mereka kelaparan.
[11] Daripada buah zaitun mereka membuat minyak, dan daripada buah anggur, mereka membuat minuman, tetapi mereka sendiri kehausan.
[12] Di bandar terdengar tangisan orang yang cedera, dan orang yang hampir putus nyawa, tetapi Allah tidak mendengarkan doa mereka.
[13] Ada orang yang menolak cahaya, mereka tidak mengenalnya dan tidak mengikut jalannya.
[14] Pada waktu subuh, pembunuh keluar membunuh orang miskin; dan pada waktu malam, mereka keluar mencuri.
[15] Orang yang berzina menantikan senja, supaya tidak dikenali, mereka menutup muka.
[16] Pada waktu malam pencuri memecah rumah orang, tetapi pada waktu siang mereka bersembunyi dan mengelakkan cahaya.
[17] Bagi mereka, pagi hari menakutkan, tetapi kegelapan yang dahsyat, menyenangkan.”
[18] “Orang jahat dihanyut oleh air bah, dan tanah yang dimiliki mereka disumpah oleh Allah; mereka tidak lagi bekerja di ladang anggur mereka.
[19] Seperti salji hilang kena kemarau dan matahari, orang berdosa pun hilang, ditelan dunia orang mati.
[20] Ibu mereka sendiri melupakan mereka, dan cacing memakan tubuh mereka. Nama mereka tidak lagi dikenang; mereka dimusnahkan seperti pokok yang tumbang.
[21] Hal itu berlaku kerana mereka menganiaya balu, dan tidak mengasihani wanita mandul.
[22] Allah dengan kuasa-Nya, membinasakan orang perkasa; Allah bertindak, maka matilah orang durjana.
[23] Allah mungkin membiarkan mereka hidup sentosa, tetapi Dia mengawasi mereka sepanjang masa.
[24] Hanya sebentar orang jahat berjaya, lalu hilang selama-lamanya. Mereka layu seperti rumpai, seperti gandum yang dipotong daripada tangkai.
[25] Dapatkah sesiapa menyangkal perkara itu? Dapatkah sesiapa menentang kebenaran kata-kataku?”