[1] Kemudian Elifas dari kota Teman berkata,
[2] “Ayub, marahkah engkau jika aku bercakap? Aku tidak tahan berdiam diri lagi.
[3] Engkau telah mengajar banyak orang, dan engkau menguatkan orang lemah.
[4] Kata-katamu yang memberikan semangat, membangunkan orang yang tersandung, lemah dan penat.
[5] Kini engkau pula yang susah; engkau tergamam dan putus asa.
[6] Bukankah engkau beribadat kepada Allah; bukankah hidupmu tanpa cela? Jika begitu, sepatutnya engkau yakin dan tidak putus asa.
[7] Fikirlah, pernahkah orang yang tidak bersalah ditimpa bencana dan celaka?
[8] Aku pernah melihat orang membajak ladang kejahatan, dan menabur benih kekejian, lalu menuai celaka dan kesusahan.
[9] Seperti ribut, Allah memusnahkan mereka, dengan kemurkaan-Nya mereka binasa.
[10] Seperti singa yang garang, orang jahat mengaum dan meraung; tetapi Allah membungkam mereka dan mematahkan gigi mereka.
[11] Mereka mati seperti singa yang kekurangan makan, sehingga anak-anak mereka tercerai-cerai tak keruan.
[12] Sesuatu pernah sampai kepadaku seperti bisikan di telingaku.
[13] Tidurku terganggu dan terusik seperti mendapat mimpi yang buruk.
[14] Aku menggeletar dan gementar, seluruh tubuhku menggigil kerana gentar.
[15] Aku berasa hembusan angin pada mukaku, maka tegaklah bulu romaku.
[16] Sesuatu berdiri di depanku. Aku menatapnya tetapi tidak mengenalnya. Kemudian aku mendengar suara memecahkan kesunyian suasana.
[17] ‘Mungkinkah manusia tidak bercela di hadapan Allah? Mungkinkah manusia suci di hadapan Pencipta mereka?
[18] Allah tidak mempercayai hamba-hamba-Nya di syurga; Dia bahkan mencari kesalahan malaikat-malaikat-Nya.
[19] Adakah engkau berfikir bahawa Dia mempercayai makhluk daripada tanah, makhluk daripada debu yang dapat dihancurkan seperti rama-rama?
[20] Manusia itu hidup pada waktu pagi, dan mati tanpa disedari orang sebelum hari berakhir.
[21] Segala yang ada pada mereka hilang; mereka mati tanpa beroleh kebijaksanaan.’