[1] Ajalku sudah dekat, hampir putus nafasku; tiada apa-apa lagi selain kubur untukku.
[2] Orang menjadikan aku bahan ejekan. Aku melihat betapa kejamnya mereka melontarkan sindiran.
[3] Aku ini jujur, ya Allah. Percayailah aku. Tiada sesiapa lagi yang menyokong perkataanku.
[4] Engkau telah membuntukan fikiran mereka; janganlah biarkan aku dikalahkan mereka.
[5] Menurut pepatah, sesiapa mengkhianati sahabat demi keuntungan, anak-anaknya sendiri akan menerima pembalasan.
[6] Sekarang aku disindir dengan pepatah itu; mereka datang dan meludahi mukaku.
[7] Mataku kabur kerana dukacita; seluruh tubuhku kurus merana.
[8] Orang yang salih, terkejut dan hairan; mereka menganggap aku sebagai orang yang tidak percaya kepada Allah.
[9] Orang yang baik dan tidak bersalah, semakin yakin bahawa Allah berkenan kepada mereka.
[10] Tetapi jika kamu semua datang ke mari, tiada seorang bijak pun yang akan kudapati.
[11] Hari-hariku telah berlalu, gagallah segala rancanganku; hilang pula semua harapanku.
[12] Tetapi sahabat-sahabatku berkata, ‘Malam itu siang dan terang hampir tiba.’ Namun aku tahu dalam hatiku bahawa tetap gelaplah keadaanku.
[13] Hanya dunia maut yang aku harapkan, di sanalah aku akan tidur dalam kegelapan.
[14] Aku akan menamakan kubur ‘bapaku’, dan cacing yang makan tubuhku kusebut ‘ibuku’ dan ‘saudara perempuanku’.
[15] Di manakah harapan bagiku? Siapakah yang melihat harapan untukku?
[16] Aku tidak mempunyai harapan lagi apabila aku pergi ke dunia orang mati.”