[1] Aku sudah bosan dengan hidupku. Aku akan meluahkan kepahitan jiwaku.
[2] Ya Allah, janganlah salahkan aku. Beritahulah aku tuduhan-Mu terhadapku.
[3] Adilkah Engkau bersikap sekejam ini, menghina ciptaan-Mu sendiri, dan memperkenankan rancangan orang keji?
[4] Adakah pandangan-Mu seperti pandangan manusia?
[5] Adakah hidup-Mu sesingkat hidup manusia?
[6] Jika tidak, mengapakah Engkau mencari segala dosaku, dan mengejar setiap kesalahanku?
[7] Engkau tahu bahawa aku tidak bersalah, dan tiada sesiapa dapat menyelamatkan aku daripada-Mu.
[8] Tangan-Mu telah mencipta dan membentuk aku, dan kini tangan itu juga yang membinasakan aku.
[9] Ingatlah, Engkau mencipta aku daripada tanah liat; mahukah Engkau menghancurkan aku sehingga menjadi debu semula?
[10] Engkau memberi bapaku tenaga untuk menjadikan aku; Engkau membesarkan aku di dalam rahim ibuku.
[11] Engkau membentuk badanku dengan tulang dan urat, Engkau meliputi tulang-tulangku dengan otot dan kulit.
[12] Engkau memberi aku nyawa dan Engkau mengasihi aku, dan penjagaan-Mu telah memelihara nyawaku.
[13] Tetapi kini aku tahu bahawa selama itu Engkau berniat jahat terhadapku.
[14] Engkau mengawasi aku supaya jika aku berdosa, Engkau tidak akan mengampuni aku.
[15] Jika aku berdosa, malanglah aku ini, tetapi jika aku berbuat benar, aku tidak dipuji. Aku menderita dan dihina sama sekali.
[16] Jika aku mendapat sedikit kejayaan, Engkau memburu aku seperti singa; bahkan Engkau menggunakan mukjizat untuk menyakiti aku.
[17] Engkau selalu mempunyai saksi yang menentang aku; kemurkaan-Mu terhadapku semakin marak; Engkau selalu merancang serangan baru.
[18] Ya Allah, mengapakah Engkau membiarkan aku lahir ke dunia? Sepatutnya aku mati sebelum dilihat manusia.
[19] Maka seolah-olah aku tidak dilahirkan, kerana dari rahim langsung dikuburkan.
[20] Bukankah hidupku hampir berakhir? Jangan ganggu aku lagi! Biarkan aku menikmati masaku yang sisa ini.
[21] Tidak lama lagi aku akan pergi dan tidak akan kembali, pergi ke tempat yang gelap dan kelam;
[22] yang penuh kegelapan, bayangan, dan kekacauan; di sana yang terang pun merupakan kegelapan.”