Skip to content
Opens in a new window

[1] Tetapi kini orang yang lebih muda daripada aku mengejek aku. Dahulu bapa mereka kupandang terlalu hina untuk menjaga dombaku bersama dengan anjing gembala.

[2] Bagiku mereka tidak berguna, kerana sudah kehabisan tenaga.

[3] Mereka miskin dan lapar sekali, sehingga mereka makan akar kering di gurun yang sunyi.

[4] Mereka mencabut belukar di gurun, lalu makan daun dan akarnya.

[5] Semua orang menghalau mereka dengan tengkingan, seperti orang mengusir pencuri.

[6] Mereka terpaksa tinggal di dalam gua, lubang-lubang di tebing gunung menjadi rumah mereka.

[7] Di hutan mereka meraung seperti binatang, dan berhimpit-himpit di bawah belukar.

[8] Mereka sekumpulan orang yang tidak berguna sama sekali! Mereka telah dihalau dari negeri ini.

[9] Tetapi kini mereka datang dan mentertawakan aku; aku menjadi bahan tertawaan mereka.

[10] Mereka membenci dan menghina aku, bahkan mereka meludahi mukaku.

[11] Oleh sebab Allah telah membuat aku lemah dan tidak berdaya, aku dilawan mereka dengan segala keganasan.

[12] Gerombolan itu menyerang aku dari depan; dan kejatuhanku dirancang oleh mereka.

[13] Mereka menyekat jalanku dan menjatuhkan aku; dan tidak seorang pun menghalangi mereka.

[14] Mereka memecahkan tembok pertahananku; beramai-ramai mereka masuk dengan meluru.

[15] Ketakutan meliputi aku; kehormatanku hilang seperti hembusan angin dan harapanku untuk menang, hilang seperti awan.

[16] Kini hampir matilah aku; penderitaan mencengkam aku.

[17] Pada waktu malam semua tulangku sakit sekali, dan kesakitan yang menusuk tidak kunjung berhenti.

[18] Allah mencekau aku pada leher bajuku dan merenyukkan pakaianku.

[19] Dia menghempaskan aku ke dalam lumpur, dan aku menjadi seperti kotoran.

[20] Aku berseru kepada-Mu, ya Allah, tetapi Engkau tidak memberikan jawapan; dan apabila aku berdoa, Engkau tidak memperhatikan.

[21] Engkau bersikap kejam terhadapku; Engkau menganiaya aku dengan segenap kekuatan-Mu.

[22] Engkau membiarkan angin menerbangkan aku, dan angin ribut mengumbang-ambingkan aku.

[23] Aku tahu bahawa Engkau membawa aku ke alam kematian, kepada kesudahan yang mesti dihadapi setiap orang.

[24] Mengapakah Engkau menyerang orang yang malang, yang tidak dapat berbuat apa-apa lagi kecuali mohon belas kasihan?

[25] Tidakkah aku menangis bersama-sama orang dalam kesusahan, dan mengasihani orang yang berkekurangan?

[26] Aku mengharapkan kebahagiaan dan cahaya, tetapi kesusahan dan kegelapan yang datang.

[27] Aku dihancurkan oleh kegelisahan dan kesakitan; hari demi hari aku menghadapi penderitaan.

[28] Dalam kegelapan, tanpa cahaya aku berkeliaran; aku berdiri di khalayak ramai dan minta pertolongan.

[29] Suaraku sedih dan penuh hiba, seperti lolong serigala atau bunyi burung unta.

[30] Kulitku menjadi hitam; tubuhku terbakar oleh demam.

[31] Dahulu aku mendengar muzik gembira, tetapi kini hanya ratapan tangis belaka.

Ayub — Chapters