Skip to content
Opens in a new window

[1] Kemudian Ayub menjawab,

[2] “Memang, kamu suara orang ramai. Apabila kamu mati, hikmat juga akan mati.

[3] Tetapi aku juga mempunyai akal seperti kamu, dan aku tidak lebih rendah daripada kamu; semua orang tahu segala yang kamu katakan itu.

[4] Bahkan sahabat-sahabatku pun mentertawakan aku, mereka tertawa, walaupun aku benar dan tidak bersalah; tetapi pada suatu masa dahulu Allah pernah mengabulkan doaku.

[5] Kamu tidak mempunyai kesusahan, namun kamu menghina aku; kamu memukul orang yang hampir jatuh.

[6] Pencuri dan orang jahat hidup tanpa ancaman, walaupun kekuatan mereka sendiri menjadi dewa mereka.

[7] Bertanyalah kepada unggas dan binatang lain, maka kamu akan diberikan pengajaran.

[8] Mintalah keterangan daripada makhluk darat dan lautan, maka kamu akan menerima penjelasan.

[9] Kesemuanya tahu bahawa Allah telah mencipta mereka.

[10] Allah berkuasa atas kehidupan setiap makhluk-Nya; nyawa setiap manusia dalam tangan Allah.

[11] Orang tahu makanan yang sedap ketika merasanya, dan kata-kata yang bijak apabila mendengarnya.

[12] Hikmat ada pada orang tua, tetapi hikmat dan kuasa ada pada Allah sahaja. Pengertian ada pada orang tua, tetapi pengertian dan kuasa untuk bertindak ada pada Allah sahaja.

[14] Apa yang dirobohkan Allah tidak dapat dibina semula; orang yang dipenjarakan Allah tidak dapat dibebaskan semula.

[15] Apabila Allah menahan hujan, kemarau tiba; apabila Dia melepaskan air, banjir melanda.

[16] Allah kuat dan sentiasa berjaya; penipu dan orang yang tertipu ada dalam kekuasaan-Nya.

[17] Dia mencabut kebijaksanaan pemerintah, dan menyebabkan pemimpin menjadi bahan ketawa.

[18] Dia menggulingkan raja-raja dan menawan mereka;

[19] Dia merendahkan imam-imam dan orang berkuasa.

[20] Dia membungkam orang yang dapat dipercayai, dan mengambil kebijaksanaan daripada orang tua.

[21] Dia memalukan mereka yang berkuasa, dan menamatkan kekuasaan para pemerintah.

[22] Dia menyinari tempat-tempat yang suram, dan menerangi tempat-tempat yang kelam.

[23] Dia menjadikan bangsa-bangsa kuat dan gagah, tetapi kemudian mengalahkan dan memusnahkan mereka.

[24] Dia menjadikan pemimpin mereka kebingungan, sehingga mereka mengembara tanpa tujuan.

[25] Mereka meraba-raba dalam kegelapan, dan terhuyung-hayang seperti orang mabuk minuman.

Ayub — Chapters