[1] Segala yang kamu katakan pernah aku dengar dan lihat sendiri, dan sungguh-sungguh kufahami.
[2] Apa yang kamu tahu, aku pun tahu; aku tidak lebih rendah daripada kamu.
[3] Tetapi aku hendak berbicara dengan Yang Maha Kuasa, aku hendak membela perkaraku dengan Allah.
[4] Kamu menutup kebodohan kamu dengan dusta; kamu seperti doktor yang tidak berguna.
[5] Sekiranya kamu tidak berkata apa-apa, mungkin orang berfikir kamu bijaksana!
[6] Dengarlah aku menyatakan perkaraku. Perhatikanlah pembelaanku.
[7] Bolehkah demi Allah, kamu berdusta? Bolehkah kamu berbohong demi kepentingan-Nya?
[8] Adakah kamu cuba membela Allah? Adakah kamu hendak membela perkara-Nya?
[9] Jika Allah memeriksa kamu, bolehkah Dia mendapati kebaikan pada dirimu? Dapatkah kamu menipu Allah seperti kamu menipu manusia?
[10] Walaupun prasangka kamu tersembunyi, Dia akan menghukum kamu,
[11] dan kuasa-Nya akan menakutkan kamu.
[12] Pepatah kamu seperti abu yang tidak berguna; pembelaan kamu seperti tanah liat yang mudah pecah.
[13] Diamlah, dan berilah aku peluang untuk berkata-kata, aku tidak peduli akan akibatnya.
[14] Aku bersedia mempertaruhkan nyawa.
[15] Biarlah Allah membunuh aku kerana aku sudah putus asa, namun aku akan membela perkaraku di hadapan-Nya.
[16] Mungkin keberanianku akan menyelamatkan aku, kerana tiada orang jahat yang berani menghadap Allah.
[17] Sekarang dengarlah baik-baik perkataanku, perhatikanlah penjelasanku.
[18] Aku bersedia menyatakan perkaraku, kerana aku tahu bahawa tiada kesalahan padaku.
[19] Ya Allah, adakah Engkau hendak menuduh aku? Jika demikian, aku akan diam dan menunggu ajalku.
[20] Aku akan menghadap Engkau jika Engkau mengabulkan dua permohonanku:
[21] berhentilah menghukum aku, dan jangan timpa aku dengan kedahsyatan-Mu.
[22] Berfirmanlah dahulu, ya Allah, dan aku akan menjawab. Atau biarlah aku bercakap, lalu Engkau menjawab.
[23] Apakah kesalahan dan dosaku? Sebutlah pelanggaran dan dosaku.
[24] Mengapakah Engkau menghindari aku, dan memperlakukan aku seperti musuh?
[25] Adakah Engkau cuba menakutkan dan mengejar aku? Aku hanya seperti daun yang ditiup angin dan seperti jerami yang kering.
[26] Engkau mengemukakan tuduhan pahit terhadap aku; Engkau membalas kesalahanku pada masa mudaku.
[27] Engkau merantai kakiku; Engkau mengawasi setiap langkahku dan Engkau memeriksa jejakku.
[28] Oleh itu, aku menjadi rapuh seperti kayu reput, seperti baju yang telah dimakan gegat.