[1] Kemudian Elifas berkata,
[2] “Di kalangan manusia, tiada yang berguna bagi Allah. Orang yang paling bijak pun tidak berguna bagi-Nya.
[3] Apakah faedahnya bagi Yang Maha Kuasa, jika engkau melakukan kehendak-Nya? Apakah ada keuntungan bagi-Nya jika hidupmu sempurna?
[4] Bukan kerana engkau takut dan hormat kepada Allah, maka Dia menegur dan mengadili engkau,
[5] melainkan kerana dosamu banyak, dan engkau sangat jahat.
[6] Untuk memaksa saudaramu membayar hutangnya, engkau merampas pakaiannya dan membiarkan dia telanjang.
[7] Engkau enggan memberikan air kepada mereka yang lelah, dan enggan memberikan makanan kepada mereka yang lapar.
[8] Engkau menggunakan kuasa dan kedudukanmu untuk merampas seluruh tanah.
[9] Bukan sahaja engkau tidak mahu menolong balu, tetapi engkau juga menindas anak yatim piatu.
[10] Oleh itu sekarang terdapat perangkap di sekelilingmu, dan tiba-tiba ketakutan meliputimu.
[11] Terang menjadi gelap sehingga engkau tidak dapat melihat, dan engkau dilanda banjir yang dahsyat.
[12] Tidakkah Allah tinggal di syurga yang tertinggi, dan memandang ke bawah, pada bintang-bintang yang tinggi sekali?
[13] Namun engkau bertanya, ‘Adakah Allah tahu? Dia di balik awan dan tidak dapat mengadili kita.’
[14] Engkau menyangka bahawa pandangan-Nya tertutup awan, ketika Dia berjalan di sempadan langit dan bumi.
[15] Adakah engkau tetap mengikut jalan yang selalu diikuti orang jahat?
[16] Walaupun masa mereka belum tiba, mereka dihanyut oleh banjir yang melanda.
[17] Itulah orang yang menolak Allah, dan menganggap Yang Maha Kuasa tidak dapat mengapa-apakan mereka.
[18] Padahal Allah yang telah menjadikan mereka kaya. Aku tidak faham akan fikiran orang durjana.
[19] Orang baik dan yang tidak bersalah ketawa kegembiraan, apabila melihat orang jahat menerima hukuman.
[20] Segala hak milik orang jahat musnah, dan api membakar segala yang tersisa.
[21] Sekarang, Ayub, berdamailah dengan Allah, dan berhentilah menganggap Dia sebagai musuh. Jika engkau berbuat demikian, Dia akan memberkati engkau.
[22] Terimalah perintah yang diberikan-Nya; simpanlah firman-Nya dalam hatimu.
[23] Engkau mesti kembali kepada Allah dengan rendah hati, dan segala kejahatan di rumahmu hendaklah engkau akhiri.
[24] Lemparlah emasmu yang paling murni; lemparlah emasmu ke dasar sungai yang tidak berair lagi.
[25] Hendaklah Allah Yang Maha Kuasa merupakan emasmu, dan merupakan perak yang sangat bermutu.
[26] Barulah engkau akan mempercayai Allah selalu, dan mendapati Dia adalah sumber kegiranganmu.
[27] Apabila engkau berdoa, Dia akan menjawab, dan engkau akan menepati segala janjimu.
[28] Usahamu akan berjaya selalu, dan cahaya akan menyinari hidupmu.
[29] Orang yang sombong direndahkan Allah, tetapi yang rendah hati diselamatkan-Nya.
[30] Dia akan menyelamatkan engkau jika engkau tidak bersalah, dan jika engkau melakukan kehendak-Nya.”