[1] Ada lombong-lombong tempat perak ditemukan, ada tempat-tempat emas dibersihkan.
[2] Besi digali dari dalam tanah, dan batu dileburkan untuk mendapatkan tembaga.
[3] Gelap gelita ditembusi, tempat yang paling dalam diselidiki. Di situ, di dalam kegelapan, orang mencari batu-batan.
[4] Jauh di tempat yang tidak berpenghuni, yang belum pernah dijalani dan dilalui, orang bekerja sambil bergantung pada tali, di dalam terowong yang sunyi sepi.
[5] Tanah menghasilkan makanan untuk manusia, tetapi di bawah tanah itu, segalanya pecah berderai-derai.
[6] Batu-batu bumi mengandungi nilam, dan debu bumi mengandungi emas.
[7] Burung helang tidak nampak jalan ke lombong itu, burung nasar tidak pernah terbang di situ.
[8] Binatang buas tidak pernah menjejak jalan itu. Singa pun tidak pernah melalui jalan yang sunyi itu.
[9] Orang menggali batu-batan yang keras sekali, dasar gunung pun digali.
[10] Sedang mereka menembusi gunung batu, mereka menjumpai permata yang sangat bermutu.
[11] Sampai ke sumber sungai mereka menggali, dan menyatakan apa yang tersembunyi.
[12] Tetapi di manakah hikmat dapat dicari? Di manakah kita dapat belajar agar mengerti?
[13] Hikmat tidak didapati di kalangan manusia; tiada sesiapa yang tahu akan nilai yang sebenarnya.
[14] Lautan dan samudera mengatakan hikmat tidak terdapat di sana.
[15] Hikmat tidak dapat ditukar dengan emas murni, dan dengan perak pun tidak dapat dibeli.
[16] Emas dan permata yang paling berharga tidak dapat mengimbangi nilainya.
[17] Nilainya lebih daripada emas, dan daripada jambangan kencana ataupun kristal.
[18] Hikmat lebih tinggi nilainya daripada batu karang, hablur, atau mutiara.
[19] Batu topaz dan emas tulen tidak dapat dibandingkan dengan nilai hikmat.
[20] Di manakah sumber hikmat? Di manakah kita dapat pengertian?
[21] Tiada makhluk hidup yang pernah melihatnya, bahkan burung di udara pun tidak pernah nampaknya.
[22] Maut dan kemusnahan pun berkata bahawa yang didengar khabar angin sahaja.
[23] Allah sahaja yang mengetahui jalan ke sana, ke tempat hikmat berada,
[24] kerana Dia melihat sampai ke hujung bumi, melihat segala yang berada di bawah langit.
[25] Apabila Dia memberi angin kekuatan, dan keluasan laut ditentukan-Nya;
[26] apabila Allah menentukan tempat hujan turun, dan jalan yang dilalui kilat guruh;
[27] pada masa itulah hikmat dilihat-Nya dan nilai hikmat diuji-Nya, lalu diberikan restu-Nya.
[28] Allah berfirman kepada manusia, “Untuk mendapat hikmat, kamu mesti takut dan hormat kepada Tuhan. Untuk mendapat pengertian, kamu mesti meninggalkan kejahatan.”