Skip to content
Opens in a new window

[1] Hikmat telah membina rumahnya, dan mendirikan tujuh batang tiang bagi rumah itu.

[2] Ia telah menyembelih ternakan untuk jamuan, mencampur wain dengan rempah, serta menyediakan hidangan.

[3] Ia menyuruh pelayan perempuannya berseru dari tempat yang tertinggi di kota,

[4] “Marilah, hai orang yang kurang pengalaman. Silalah ke mari!” Kepada orang yang bodoh ia berkata,

[5] “Marilah makan makananku dan minum wain yang telah kusediakan.

[6] Tinggalkanlah kebodohan supaya kamu hidup bahagia. Ikutilah teladan orang berpengertian.”

[7] Jika kamu menegur ajar orang yang sombong, kamu akan dihina. Jika kamu menegur ajar orang jahat, kamu akan cedera.

[8] Jangan sekali-kali tegur ajar orang yang sombong; mereka akan membenci kamu. Tetapi jika kamu menegur ajar orang bijak, mereka akan menghormati kamu.

[9] Apa sahaja yang kamu katakan kepada orang bijak akan membuat orang itu lebih bijaksana. Apa sahaja yang kamu ajarkan kepada orang yang taat kepada Allah akan menambah pengetahuan orang itu.

[10] Jika kamu hendak menjadi bijaksana, pertamanya kamu mesti hormat dan takut kepada TUHAN. Jika kamu kenal akan Yang Maha Suci, kamu akan memperoleh pengertian.

[11] Hikmat akan menambah usia kamu.

[12] Kamu sendiri yang akan beruntung jika kamu mempunyai hikmat. Tetapi jika kamu menolak hikmat, kamu sendiri juga yang akan rugi.

[13] Kebodohan bagaikan perempuan yang lancang, bebal, dan tidak tahu malu.

[14] Ia duduk di depan pintu rumahnya atau di tempat duduk di kawasan tertinggi di kota,

[15] lalu berseru kepada orang yang sedang lalu di situ,

[16] “Masuklah ke rumahku, hai kamu yang kurang pengalaman!” Kepada orang bodoh ia berkata,

[17] “Minuman yang dicuri lebih manis, dan makan dengan sembunyi-sembunyi lebih enak.”

[18] Mangsanya tidak tahu bahawa orang yang masuk ke dalam rumahnya akan mati dan mereka yang telah masuk ke dalam rumahnya, sekarang di dunia orang mati.

Amsal — Chapters