Skip to content
Opens in a new window

[1] Anakku, jika kamu berjanji menjamin hutang orang lain,

[2] maka kamu terikat oleh kata-katamu atau terjerat oleh janjimu sendiri.

[3] Kalau begitu anakku, kamu sudah dalam kuasa orang itu. Tetapi inilah caranya kamu dapat melepaskan diri: pergilah segera kepadanya dan mohonlah dia membebaskan kamu.

[4] Jangan tidur ataupun rehat sebelum kamu berbuat demikian.

[5] Selamatkanlah dirimu daripada perangkap itu seperti burung atau kijang melepaskan diri daripada pemburu.

[6] Orang yang malas harus belajar daripada cara hidup semut.

[7] Semut tidak mempunyai pemimpin, atau ketua, ataupun penguasa,

[8] tetapi semut menyimpan makanan pada musim menuai sebagai persediaan semasa tidak ada makanan.

[9] Berapa lamakah orang malas hendak berbaring? Bilakah dia akan bangun?

[10] Dia berkata, “Aku hendak tidur sekejap saja. Aku hendak berpangku tangan dan berehat sebentar.”

[11] Tetapi sementara dia tidur, dia akan ditimpa kemiskinan yang datang seperti perompak yang bersenjata.

[12] Orang yang jahat dan tidak berguna membohong di sana sini.

[13] Mereka mengenyitkan mata dan memberikan isyarat untuk menipu kamu,

[14] sementara merancang kejahatan dalam fikiran mereka yang sesat. Mereka menimbulkan kekacauan di merata tempat.

[15] Kerana perbuatan mereka itu, bencana akan menimpa mereka dengan mengejut, dan mereka akan dihancurkan sama sekali.

[16] Ada tujuh perkara yang dibenci oleh TUHAN dan tidak dapat dibiarkan-Nya: sikap yang sombong, mulut yang membohong, tangan yang membunuh orang yang tidak bersalah, fikiran yang merancang hal-hal jahat, kaki yang bergegas menuju kejahatan, saksi yang terus-menerus berdusta, dan orang yang menyebabkan perkelahian antara sahabat.

[20] Hai anakku, lakukanlah perintah bapamu, dan jangan lupakan ajaran ibumu.

[21] Ingatlah dan simpanlah kata-kata mereka dalam hatimu.

[22] Ajaran mereka akan memimpin kamu dalam perjalanan, melindungi kamu pada waktu malam, dan menasihati kamu pada waktu siang.

[23] Petunjuk mereka bagaikan lampu yang terang, dan teguran mereka menunjukkan cara hidup yang baik kepadamu.

[24] Dengan demikian kamu dijauhkan daripada perempuan jalang dan daripada pujukan isteri orang lain.

[25] Jangan kamu tergoda oleh kecantikan mereka, atau terpikat oleh kerlingan mata mereka.

[26] Pelacur dapat kamu bayar dengan harga sebuku roti sahaja, tetapi berzina dengan isteri orang lain harus kamu bayar dengan nyawa.

[27] Jika kamu memangku api, pakaianmu terbakar.

[28] Jika kamu berjalan di atas bara api, kakimu terbakar.

[29] Demikian juga bahayanya jika seorang lelaki tidur dengan isteri orang lain. Sesiapa yang melakukan hal itu akan menanggung akibatnya.

[30] Orang tidak menghina pencuri yang mencuri makanan kerana lapar;

[31] walaupun demikian, jika pencuri itu tertangkap, dia mesti menggantinya tujuh kali ganda dan dia mesti menyerahkan segala miliknya.

[32] Tetapi seorang lelaki yang berzina sangat bodoh. Lelaki itu membinasakan dirinya sendiri.

[33] Dia akan dihina dan dipukul orang. Dia akan dipermalukan selama-lamanya.

[34] Seorang suami paling marah apabila dia cemburu. Dendamnya tidak mengenal batas.

[35] Dia tidak mahu menerima ganti rugi; pemberian sebanyak apa pun tidak dapat meredakan kemarahannya.

Amsal — Chapters