Skip to content
Opens in a new window

[1] Hai anakku, dengarkanlah aku. Perhatikanlah kebijaksanaanku dan pengertian yang aku ajarkan kepadamu,

[2] supaya kamu tahu membawa diri dan bercakap seperti orang yang berpengetahuan.

[3] Mulut perempuan jalang semanis madu dan kata-katanya memikat hati,

[4] tetapi kemudian yang tertinggal hanya kepahitan dan penderitaan.

[5] Dia akan menyeret kamu ke dunia orang mati. Jalan yang ditempuhnya itu menuju maut.

[6] Dia tidak tetap pada jalan yang menuju hidup, tetapi menyimpang dari jalan itu tanpa disedarinya.

[7] Oleh itu, hai anak-anak dengarkanlah kata-kataku, dan jangan sekali-kali lupakannya.

[8] Jauhilah perempuan seperti itu! Bahkan jangan dekati pintunya.

[9] Jika kamu tidak menjauhi perempuan itu, kamu akan kehilangan kehormatan, dan ketika kamu masih muda, nyawa kamu akan direnggut oleh orang yang tidak berbelas kasihan.

[10] Semua harta kamu akan dirampas oleh orang yang tidak kamu kenal, dan hasil usaha kamu akan dimiliki orang lain.

[11] Pada akhir hidup kamu, kamu akan mengerang kerana badan kamu habis dimakan penyakit.

[12] Lalu kamu akan berkata, “Mengapakah selama ini aku membenci nasihat? Mengapakah aku tidak mahu ditegur orang?

[13] Aku tidak mendengar ajaran guru-guruku. Aku tidak memperhatikan nasihat mereka.

[14] Sekarang aku dihina di hadapan orang ramai.”

[15] Setialah kepada isterimu dan kasihilah dia sahaja.

[16] Tidak ada gunanya mencari kenikmatan pada orang yang bukan isterimu.

[17] Kenikmatan itu khas untuk kamu dengan isterimu, bukan dengan orang lain.

[18] Oleh itu hendaklah kamu berbahagia dengan isterimu dan bersukacitalah dengan gadis yang kamu kahwini,

[19] gadis yang manis dan jelita seperti rusa. Biarlah kecantikannya memikat kamu, dan cintanya menambat hati kamu.

[20] Mengapakah kamu tergila-gila kepada perempuan lain, hai anakku? Mengapakah kamu lebih suka meniduri isteri orang?

[21] TUHAN nampak segala perbuatanmu. Ke mana sahaja kamu pergi, kamu diawasi-Nya.

[22] Dosa orang jahat bagaikan perangkap. Orang itu akan terjerat oleh dosanya sendiri.

[23] Dia akan mati kerana tidak dapat menahan nafsu. Kebodohannya akan membawa dia ke kubur.

Amsal — Chapters