Skip to content
Opens in a new window

[1] Lebih baik makan sesuap makanan dengan fikiran yang tenang, daripada makan jamuan besar di rumah yang penuh dengan pertengkaran.

[2] Hamba yang bijak akan menguasai anak tuannya yang mendatangkan malu, dan mewarisi sebahagian hartanya.

[3] Emas dan perak diuji oleh api, tetapi hati orang diuji oleh TUHAN.

[4] Orang jahat menyambut cadangan jahat, dan pembohong suka mendengar kata-kata dusta.

[5] Sesiapa yang mentertawakan orang miskin, menghina Allah yang mencipta mereka. Sesiapa yang gembira kerana kemalangan orang lain akan dihukum.

[6] Orang tua bangga akan cucu seperti anak bangga akan ibu bapa.

[7] Orang berhormat tidak patut berdusta, dan orang bodoh tidak dapat mengatakan yang berfaedah.

[8] Ada orang berpendapat bahawa rasuah dapat membuat keajaiban; mereka percaya segalanya terlaksana dengan rasuah.

[9] Jika ingin disukai orang, maafkanlah kesalahan yang dilakukan mereka. Membangkit-bangkit kesalahan akan memutuskan persahabatan.

[10] Satu kali ditegur ajar lebih bererti bagi orang bijak, daripada seratus kali cambukan pada orang bodoh.

[11] Maut datang seperti utusan yang kejam kepada orang jahat yang selalu menimbulkan kekacauan.

[12] Lebih baik berjumpa dengan beruang betina yang kehilangan anaknya, daripada berjumpa dengan orang bodoh yang sibuk dengan kebodohannya.

[13] Orang yang membalas kebaikan dengan kejahatan, tidak dapat membanteras kejahatan dari rumahnya.

[14] Permulaan pertengkaran bagaikan retak pada empangan; cegahlah pertengkaran sebelum bermula.

[15] TUHAN membenci perbuatan melepaskan orang jahat dan perbuatan menyalahkan orang yang tidak bersalah.

[16] Sia-sia sahaja orang bodoh menghabiskan wang mencari hikmat, kerana dia tidak berakal.

[17] Sahabat sentiasa saling mengasihi, dan sanak keluarga saling menanggung kesusahan.

[18] Hanya orang yang tidak berakal mahu menanggung hutang orang lain.

[19] Orang yang suka akan dosa suka bertengkar. Orang yang selalu bercakap besar mencari kesusahan.

[20] Orang yang menipu tidak akan bahagia; orang yang bermulut jahat mendapat celaka.

[21] Anak yang melakukan perbuatan bodoh menyusahkan dan menyedihkan hati ibu bapanya.

[22] Hati yang gembira menyihatkan badan; hati yang sedih melemahkan semangat.

[23] Hakim yang curang menerima rasuah dengan diam-diam dan tidak menjalankan keadilan.

[24] Tujuan orang bijak adalah memperoleh hikmat, tetapi tujuan orang bodoh tidak menentu.

[25] Anak yang bodoh menyedihkan hati bapanya dan mengesalkan hati ibunya.

[26] Tidaklah patut mendenda orang yang tidak bersalah, dan tidaklah adil menghukum orang yang baik.

[27] Orang yang berpengetahuan tidak banyak bercakap. Orang yang berpengertian sentiasa tenang.

[28] Orang bodoh pun mungkin dianggap bijak dan pandai jika mereka berdiam diri dan menutup mulut.

Amsal — Chapters