[1] Inilah kata-kata yang diucapkan Agur anak Yake dari Masa: “ Aku lelah, ya Allah. Aku lelah! Aku tidak berdaya.
[2] Aku bodoh seperti binatang; aku tidak mempunyai pengertian.
[3] Aku tidak pernah memperoleh hikmat, dan aku sama sekali tidak mengenal Allah.
[4] Siapa pernah naik turun syurga? Siapa pernah menggenggam angin, atau membungkus air dengan kain, ataupun menentukan batas-batas bumi? Siapakah namanya, dan siapakah anaknya? Pasti engkau tahu.
[5] Allah menepati segala janji-Nya. Dia seperti perisai bagi semua orang yang meminta perlindungan-Nya.
[6] Jika kamu menambah apa yang dikatakan-Nya, Dia akan menegur kamu dan membuktikan bahawa kamu bohong.”
[7] Ya Allah, aku memohon dua hal sebelum aku mati:
[8] tolonglah aku supaya aku tidak berdusta, dan tolonglah aku supaya aku tidak kaya dan tidak miskin. Oleh itu, berilah aku hanya apa yang aku perlukan.
[9] Jika aku kaya, mungkin aku berkata aku tidak memerlukan Engkau. Sebaliknya, jika aku miskin, mungkin aku mencuri, lalu memalukan Allahku.
[10] Jangan fitnah seorang hamba kepada tuannya. Kamu akan dikutuk, dan kamu akan menderita.
[11] Ada orang mengutuk bapa dan tidak menghargai ibu.
[12] Ada orang menganggap diri mereka suci, padahal kotor sekali.
[13] Ada orang menyangka diri mereka baik sekali - bukan main baiknya!
[14] Ada orang memperdaya orang yang miskin dan susah. Demikianlah cara mereka mencari nafkah.
[15] Lintah darat mempunyai dua orang anak perempuan; kedua-duanya bernama “Berilah aku”! Ada empat hal yang tidak pernah puas:
[16] dunia orang mati, perempuan mandul, tanah gersang yang haus akan hujan, dan api yang merebak ke serata tempat.
[17] Seorang yang mencemuh bapanya, atau menghina ibunya yang sudah tua, patut dimakan burung hering, atau matanya dipatuk burung gagak hutan.
[18] Ada empat hal yang terlalu sukar untuk aku fahami:
[19] burung helang yang terbang di langit, ular yang menjalar di atas batu, kapal yang belayar di tengah laut, dan lelaki serta wanita yang jatuh cinta.
[20] Inilah yang dilakukan oleh isteri yang tidak setia: dia berzina, lalu mandi. Setelah itu dia berkata, “Aku tidak berbuat apa-apa yang salah!”
[21] Ada empat hal yang sukar diterima di seluruh dunia:
[22] seorang hamba yang menjadi raja, seorang bodoh yang mendapat semua makanan yang diingininya,
[23] seorang perempuan yang dibenci orang, tetapi dapat berkahwin, dan seorang hamba perempuan yang merampas kedudukan puannya.
[24] Ada empat jenis binatang di bumi ini yang kecil tetapi sangat bijak:
[25] Semut tidak kuat, tetapi menyimpan makanan pada musim panas.
[26] Landak batu tidak kuat, tetapi membuat rumah di bukit batu.
[27] Belalang tidak mempunyai raja, tetapi berbaris dengan teratur.
[28] Cicak dapat ditangkap dengan tangan, namun terdapat di istana.
[29] Ada empat jenis makhluk yang kelihatan gagah ketika berjalan:
[30] singa, binatang yang terkuat dan tidak takut terhadap apa-apa;
[31] kambing jantan; ayam jantan yang mengigal; dan raja di hadapan rakyat.
[32] Jika kamu telah berlaku sombong serta merancangkan kejahatan, berfikirlah semula!
[33] Jika kamu memukul susu, kamu mendapat mentega. Jika kamu meninju hidung orang, darah keluar. Jika kamu membangkitkan kemarahan, kamu mendapat kesusahan.