Skip to content
Opens in a new window

[1] Inilah beberapa kata hikmat lain daripada Raja Salomo yang disalin oleh pegawai-pegawai di istana Raja Hizkia, raja Yehuda.

[2] Kita memuliakan Allah kerana apa yang dirahsiakan-Nya. Kita menghormati raja kerana apa yang diterangkan baginda.

[3] Kamu tidak dapat menyelami fikiran raja. Fikiran raja lebih tinggi daripada fikiran kita, setinggi langit dan sedalam laut.

[4] Bersihkanlah perak daripada sanganya, barulah yang indah dapat dibentuk oleh tukang perak.

[5] Jauhkanlah penasihat yang jahat daripada raja, lalu raja akan memerintah dengan adil.

[6] Apabila menghadap raja, jangan cuba berlagak seperti orang besar dan berpura-pura pandai.

[7] Lebih baik dipersilakan ke tempat yang lebih terhormat daripada disuruh memberikan tempat kamu kepada orang yang lebih berpangkat.

[8] Jangan tergesa-gesa membawa perkara ke mahkamah, kerana jika kemudian kamu terbukti salah, apa lagi yang dapat kamu buat?

[9] Jika kamu berselisih faham dengan jiran kamu, selesaikanlah perkara itu antara kamu sendiri, dan jangan buka rahsia orang lain.

[10] Jika kamu membuka rahsia orang lain, kamu akan dicap sebagai orang yang bocor mulut, dan nama kamu tercemar seumur hidup.

[11] Kata-kata yang diucapkan tepat pada waktunya bagaikan buah emas di dalam pinggan perak.

[12] Amaran yang diberikan oleh orang bijak kepada orang yang suka menerimanya adalah lebih berharga daripada cincin emas atau barang kemas.

[13] Utusan yang boleh dipercayai, menyegarkan hati orang yang mengutusnya, seperti air minum yang sejuk pada musim panas.

[14] Orang yang tidak menepati janjinya bagaikan awan dan angin yang tidak membawa hujan.

[15] Kesabaran yang disertai kata-kata lembut dapat meyakinkan para penguasa dan menghancurkan segala tentangan.

[16] Jangan makan madu banyak-banyak, nanti kamu muntah pula.

[17] Jangan lawat jiran kamu terlalu sering, nanti dia bosan lalu membenci kamu.

[18] Membuat tuduhan palsu bagaikan menyerang dengan pedang, belantan, atau anak panah yang tajam.

[19] Mengharapkan seorang yang tidak dapat dipercayai pada masa kesusahan bagaikan menggigit dengan gigi yang goyah atau berjalan dengan kaki yang tempang.

[20] Menyanyikan lagu bagi orang yang sedih bagaikan menanggalkan pakaiannya pada hari yang sejuk, atau membubuhkan cuka pada luka.

[21] Jika musuh kamu lapar, berilah mereka makan; jika mereka dahaga, berilah mereka minum.

[22] Perbuatan kamu akan memalukan mereka, dan TUHAN akan membalas kebaikan kamu.

[23] Umpatan pasti mendatangkan kemarahan seperti angin utara pasti membawa hujan.

[24] Tinggal di bumbung rumah lebih baik daripada tinggal di dalam rumah bersama-sama isteri yang suka bertengkar.

[25] Menerima berita baik dari tempat yang jauh bagaikan minum air sejuk ketika haus.

[26] Orang baik yang mengalah kepada orang jahat bagaikan mata air yang dikeruhkan atau perigi yang dicemarkan.

[27] Makan madu berlebih-lebih tidak baik; mengharapkan pujian yang berlebih-lebih pun tidak baik.

[28] Seorang yang tidak dapat mengawal diri bagaikan kota yang tidak berkubu dan mudah diserang musuh.

Amsal — Chapters