[1] Manusia membuat rancangan, tetapi Allah yang memberikan keputusan.
[2] Setiap perbuatan orang mungkin baik pada pandangannya sendiri, tetapi TUHAN yang menilai maksud hatinya.
[3] Serahkanlah segala usahamu kepada TUHAN, maka rancanganmu akan berjaya.
[4] Segala yang dibuat TUHAN ada tujuannya, dan tujuan bagi orang jahat adalah kebinasaan.
[5] TUHAN membenci orang sombong; Dia tidak membiarkan mereka terlepas daripada hukuman.
[6] Orang yang taat setia kepada Allah akan mendapat pengampunan. Orang yang hormat dan takut kepada TUHAN akan terhindar daripada kejahatan.
[7] Apabila kamu menyenangkan hati TUHAN, musuh-musuh dapat kamu jadikan kawan.
[8] Lebih baik berpendapatan kecil asalkan halal, daripada berpendapatan besar tetapi haram.
[9] Manusia membuat rancangan, tetapi Allah yang menentukan jalan hidup manusia.
[10] Raja bertitah dengan kuasa Allah; keputusan raja sentiasa betul.
[11] TUHAN menghendaki timbangan dan ukuran yang tepat; jangan berlaku curang ketika berniaga.
[12] Raja tidak boleh membiarkan kejahatan, kerana keadilan mengukuhkan kerajaan.
[13] Raja suka mendengar apa yang benar; raja berkenan kepada orang yang bercakap jujur.
[14] Jika raja murka, mungkin ada orang yang akan dibunuh; orang yang bijak berusaha untuk meredakan kemurkaan raja.
[15] Anugerah raja bagaikan awan yang menurunkan hujan pada musim bunga; anugerahnya memberikan hidup sejahtera.
[16] Jauh lebih baik mendapat hikmat dan pengetahuan daripada mendapat emas dan perak.
[17] Orang baik menjauhi jalan kejahatan; orang yang menjaga cara hidupnya, melindungi dirinya.
[18] Kesombongan mengakibatkan kemusnahan, dan keangkuhan mengakibatkan keruntuhan.
[19] Lebih baik rendah hati dan miskin, daripada mengikut orang sombong dan menerima bahagian barang rampasan mereka.
[20] Orang yang memperhatikan ajaran akan berjaya; orang yang percaya kepada TUHAN akan berbahagia.
[21] Orang yang bijak terpuji kerana pengertiannya. Semakin halus perkataannya, semakin dapat menyakinkan orang.
[22] Bagi orang yang bijak, hikmat bagaikan sumber hidup bahagia. Tetapi orang yang bodoh diseksa oleh kebodohannya sendiri.
[23] Orang yang bijak berfikir dahulu sebelum bercakap; oleh itu kata-katanya meyakinkan.
[24] Kata-kata yang lembut bagaikan madu - manis rasanya serta menyihatkan badan.
[25] Jalan yang disangka baik itu akhirnya menuju maut.
[26] Keinginan untuk makan mendorong seseorang berusaha lebih giat, kerana dia ingin memuaskan seleranya.
[27] Orang jahat sentiasa berusaha untuk mencelakakan orang lain; kata-kata mereka jahat seperti api yang membakar.
[28] Orang jahat mengumpat; mereka menimbulkan pertengkaran dan menceraikan sahabat akrab.
[29] Orang ganas menipu kawan mereka dan membawa mereka ke dalam bahaya.
[30] Berhati-hatilah terhadap mereka yang tersenyum dan mengenyitkan mata kepada kamu; mereka mempunyai niat jahat.
[31] Orang yang jujur akan dianugerahkan umur panjang; ubannya bagaikan mahkota yang mulia.
[32] Lebih baik orang bersabar daripada berkuasa. Lebih baik orang tahu menahan diri daripada menguasai seluruh kota.
[33] Manusia membuang undi untuk mengetahui kehendak Allah, tetapi Allah sendiri yang menentukan jawapannya.