[1] Jangan banggakan hari esok, kerana orang tidak tahu apa yang akan berlaku nanti.
[2] Biarlah orang lain memuji kamu - bahkan orang asing pun. Jangan puji diri sendiri.
[3] Batu dan pasir masih ringan jika dibandingkan dengan kesusahan yang disebabkan oleh kebodohan.
[4] Kemarahan itu kejam serta menghancurkan, tetapi tiada sesiapa dapat menghadapi kecemburuan.
[5] Lebih baik teguran yang terus terang daripada kasih yang tidak diungkapkan.
[6] Seorang kawan memukul dengan maksud baik, tetapi berwaspadalah apabila seorang musuh mencium kamu.
[7] Kalau kenyang, madu pun ditolak; kalau lapar, yang pahit pun terasa enak.
[8] Orang yang jauh dari rumah bagaikan burung yang tidak bersarang.
[9] Minyak wangi menggembirakan hati, tetapi kesusahan merunsingkan hati.
[10] Jangan lupa akan sahabatmu atau sahabat bapamu. Ketika kamu dalam kesusahan, jangan pergi ke rumah saudaramu; jiran yang dekat dapat lebih menolong kamu daripada saudara yang jauh.
[11] Hai anakku, hendaklah kamu bijak, supaya aku gembira dan dapat menjawab jika dicela.
[12] Orang yang bijak mengelakkan bahaya apabila melihatnya, tetapi orang bodoh membiarkan diri ditimpa malapetaka dan menyesal kemudian.
[13] Bodohlah orang yang berjanji menanggung hutang orang lain; miliknya harus diambil sebagai jaminan janjinya.
[14] Salam yang diteriakkan pada pagi-pagi sekali sama dengan kutukan.
[15] Isteri yang meleter bagaikan titisan air yang tidak henti-henti pada waktu hujan.
[16] Dia tidak dapat disuruh diam, sama seperti angin tidak dapat ditahan, dan minyak tidak dapat digenggam.
[17] Sebagaimana besi mengasah besi, demikianlah manusia belajar daripada satu sama lain.
[18] Orang yang memelihara pokok ara akan makan buahnya; orang yang melayani tuannya akan dihormati.
[19] Seperti air mencerminkan wajah, demikian juga hati orang mencerminkan orang yang sebenarnya.
[20] Di dunia orang mati, selalu ada tempat; begitu juga nafsu manusia tidak ada batasnya.
[21] Emas dan perak diuji dengan api; orang dinilai menurut sikapnya terhadap pujian.
[22] Walaupun orang bodoh dipukul hingga setengah mati, namun kebodohannya tidak lenyap.
[23] Peliharalah ternakan kamu baik-baik,
[24] kerana kekayaan tidak kekal. Bahkan kuasa untuk memerintah pun tidak tetap selama-lamanya.
[25] Kamu memotong rumput dan mengumpulkannya untuk ternakan kamu, tetapi sementara itu rumput yang baru tumbuh.
[26] Kamu dapat membuat pakaian daripada bulu domba. Kamu dapat membeli tanah daripada jualan kambing.
[27] Kambing yang selebihnya akan menghasilkan susu bagi kamu, keluarga kamu, dan pelayan perempuan.