Skip to content
Opens in a new window

[1] Wanita yang bijak membina rumah tangganya, tetapi wanita yang bodoh meruntuhkan rumah tangganya sendiri.

[2] Orang yang jujur akan takut dan hormat kepada TUHAN, tetapi orang yang curang menghina Dia.

[3] Orang bodoh yang sombong terhukum oleh kata-kata mereka, tetapi kata-kata orang bijak melindungi mereka.

[4] Tanpa lembu untuk membajak tanah, gudang menjadi kosong; tetapi dengan kekuatan lembu, gudang menjadi penuh.

[5] Saksi yang jujur sentiasa mengatakan yang benar, tetapi saksi yang tidak jujur selalu berdusta.

[6] Orang sombong tidak akan menjadi bijak, tetapi orang cerdas belajar dengan mudah.

[7] Jauhkanlah diri daripada orang bodoh; mereka tidak dapat mengajarkan apa-apa.

[8] Orang yang bijak tahu apa yang harus dilakukannya; orang yang bodoh tertipu oleh kebodohannya sendiri.

[9] Orang bodoh tidak peduli sama ada dosa mereka diampunkan atau tidak, tetapi orang baik mahu dosa mereka diampunkan.

[10] Suka duka seseorang dirasakannya sendiri; tiada sesiapa dapat ikut merasakannya.

[11] Rumah orang baik tetap kukuh, tetapi rumah orang jahat akan roboh.

[12] Jalan yang disangka baik itu akhirnya menuju maut.

[13] Ketawa mungkin dapat menyembunyikan kesedihan, tetapi apabila kegembiraan berakhir, kesedihan tetap ada.

[14] Orang jahat akan menerima akibat kejahatan mereka, tetapi orang baik akan menerima ganjaran untuk kebaikan mereka.

[15] Orang bodoh percaya kepada apa-apa sahaja, tetapi orang bijak melangkah dengan hati-hati.

[16] Orang bijak berhati-hati dan menjauhi kejahatan, tetapi orang bodoh tidak berhati-hati dan bertindak tanpa berfikir dahulu.

[17] Orang yang lekas marah bertindak dengan bodoh; orang bijak sentiasa bersikap tenang.

[18] Orang yang tidak berpengetahuan mengalami akibat kebodohan, tetapi orang yang pandai akan bertambah pengetahuan.

[19] Orang jahat akan tunduk kepada orang yang lurus hati untuk memohon belas kasihan.

[20] Orang miskin tidak disukai bahkan oleh jiran mereka sendiri, tetapi orang kaya mempunyai banyak kawan.

[21] Orang yang mengasihani orang miskin akan berbahagia; orang yang menghina orang lain berbuat dosa.

[22] Orang yang berbuat baik akan dipercayai dan dihormati, tetapi orang yang berbuat jahat melakukan kesalahan.

[23] Setiap usaha menghasilkan keuntungan; bercakap kosong membuat orang jatuh miskin.

[24] Orang bijak dipuji kerana kebijaksanaan mereka, tetapi orang bodoh terkenal kerana kebodohan mereka.

[25] Saksi yang jujur menyelamatkan orang, tetapi saksi yang berdusta mengkhianati orang.

[26] Hormat dan takut kepada TUHAN memberi seseorang serta keluarganya keyakinan dan keselamatan.

[27] Jika hendak menjauhkan diri daripada maut, hormatlah dan takutlah kepada TUHAN kerana Dia sumber kehidupan.

[28] Kebesaran raja bergantung kepada bilangan rakyatnya; tanpa rakyat, raja bukan apa-apa.

[29] Orang yang bertenang itu bijak, tetapi orang yang cepat marah itu bodoh.

[30] Hati yang tenang menyihatkan badan, tetapi iri hati bagaikan penyakit barah yang menjadikan tulang reput.

[31] Sesiapa yang menindas orang miskin, menghina Pencipta mereka; sesiapa yang baik terhadap orang miskin, menghormati Allah.

[32] Orang jahat binasa kerana kejahatan mereka sendiri; orang baik terlindung kerana ketulusan mereka.

[33] Hikmat terdapat pada fikiran orang bijak; orang bodoh sama sekali tidak mengenal hikmat.

[34] Keadilan meninggikan martabat bangsa, tetapi dosa mendatangkan hinaan kepada bangsa.

[35] Raja berkenan kepada pegawai yang cekap tetapi menghukum orang yang gagal menjalankan tugas.

Amsal — Chapters