Skip to content
Opens in a new window

[1] TUHAN membenci orang yang menipu dengan timbangan. Dia berkenan kepada orang yang menggunakan timbangan yang tepat.

[2] Orang yang sombong akan dipermalukan. Bersikap rendah hati adalah lebih bijaksana.

[3] Orang baik dipimpin oleh kejujuran. Orang yang tidak dapat dipercayai dibinasakan oleh kecurangan.

[4] Kekayaan tidak bererti apabila orang menghadapi maut, tetapi kejujuran dapat menyelamatkan orang.

[5] Hidup orang jujur senang kerana kejujuran mereka, tetapi orang jahat jatuh kerana kejahatan mereka.

[6] Orang jujur selamat kerana ketulusan hati mereka; orang yang tidak dapat dipercayai, diperangkap oleh ketamakan mereka.

[7] Apabila orang jahat meninggal, harapan mereka pun lenyap; berharap kepada kekayaan sia-sia sahaja.

[8] Orang salih terpelihara daripada kesusahan, tetapi orang jahat ditimpa kesusahan.

[9] Percakapan orang jahat membinasakan orang; hikmat menyelamatkan orang baik.

[10] Seluruh kota bersukacita apabila orang jujur mendapat rezeki; rakyat bersorak-sorai apabila orang jahat mati.

[11] Restu orang jujur memakmurkan kota; perkataan orang jahat memusnahkan kota.

[12] Menghina orang lain adalah perbuatan bodoh. Orang yang bijak lebih suka berdiam diri.

[13] Orang yang mengumpat tidak dapat menyimpan rahsia, tetapi orang yang dapat dipercayai boleh merahsiakan perkara.

[14] Bangsa akan jatuh jika tidak ada pemimpin yang bijak, tetapi selamat jika mendapat banyak penasihat.

[15] Berjanji membayar hutang orang lain bererti mendatangkan celaka; lebih baik tidak terlibat dalam hal itu.

[16] Wanita yang baik budi dihormati orang, tetapi wanita yang tidak berbudi dipermalukan. Orang malas tidak akan mendapat wang; tetapi orang yang bekerja keras akan menjadi kaya.

[17] Orang yang baik hati menguntungkan diri; orang yang kejam merugikan diri.

[18] Orang jahat tidak mendapat keuntungan yang sebenar, tetapi orang yang berbuat baik mendapat keuntungan sejati.

[19] Sesiapa yang bertekad melakukan kebaikan akan hidup bahagia, tetapi sesiapa yang berkeras melakukan kejahatan menuju maut.

[20] TUHAN membenci orang yang berhati jahat, tetapi Dia mengasihi orang yang hidup tanpa cela.

[21] Orang jahat pasti akan dihukum, tetapi orang baik akan selamat.

[22] Kecantikan pada wanita yang tidak berbudi bagaikan cincin emas pada jongor babi.

[23] Keinginan orang baik selalu menghasilkan yang baik, tetapi apabila orang jahat mendapat keinginan mereka, semua orang menjadi marah.

[24] Ada orang yang suka memberi tetapi masih bertambah kaya. Ada orang yang kedekut, tetapi bertambah miskin pula.

[25] Orang yang murah hati akan menjadi makmur. Orang yang suka menolong akan ditolong juga.

[26] Orang yang menyorok gandum akan dikutuk, tetapi orang yang menjual gandum akan dipuji.

[27] Orang yang bermaksud baik akan dihormati; orang yang mencari kejahatan akan mendapat kejahatan.

[28] Orang yang bergantung kepada kekayaan akan jatuh seperti daun kering, tetapi orang salih akan menjadi makmur seperti tanaman subur.

[29] Orang yang mendatangkan kesusahan kepada keluarganya, tidak akan memiliki apa-apa. Orang bodoh akan menjadi hamba orang bijak selama-lamanya.

[30] Kesalihan memberikan hidup, tetapi keganasan mencabut hidup itu.

[31] Jika orang baik menerima balasan di dunia, pastilah orang jahat dan berdosa mendapat hukuman.

Amsal — Chapters