Skip to content
Opens in a new window

[1] Dengarlah! Hikmat berseru-seru; kebijaksanaan memperdengarkan suara.

[2] Hikmat berdiri di puncak bukit, di tepi jalan, dan juga di simpang jalan.

[3] Di pintu masuk ke kota, di pintu gerbang, hikmat berseru,

[4] “Hai umat manusia, aku merayu kepada kamu; setiap insan di bumi, perhatikanlah seruanku.

[5] Kamu yang kurang matang, matangkan fikiranmu; kamu yang bebal, belajarlah supaya berakal.

[6] Dengarlah kata-kataku, kerana semuanya tepat dan berguna.

[7] Apa yang aku katakan, betul semuanya, kerana aku membenci dusta.

[8] Segala yang aku katakan benar; tiada satu pun yang menyesatkan atau salah.

[9] Bagi orang yang berpengertian, semuanya jelas; bagi orang yang berpengetahuan, semuanya terang.

[10] Hargailah ajaranku lebih daripada perak; pentingkanlah pengetahuan lebih daripada emas tulen.

[11] Akulah Hikmat. Aku lebih berharga daripada permata, dan aku tidak dapat dibandingkan dengan apa pun yang kamu idamkan.

[12] Akulah Hikmat; aku mempunyai pengertian, pengetahuan, dan kebijaksanaan.

[13] Menghormati TUHAN bererti membenci kejahatan; aku membenci kesombongan dan keangkuhan, tingkah laku jahat dan dusta.

[14] Aku memberikan nasihat yang baik, dan pertimbangan yang bijak. Aku berpengetahuan dan aku kuat.

[15] Aku membantu raja-raja menjalankan pemerintahan, dan aku menolong para penguasa menegakkan keadilan.

[16] Setiap penguasa yang adil memerintah dengan pertolonganku, demikian juga negarawan dan bangsawan.

[17] Aku mengasihi orang yang mengasihi aku, sesiapa yang sungguh-sungguh mencari aku akan menemukan aku.

[18] Aku dapat memberi kamu kekayaan dan kehormatan, kemakmuran, dan kejayaan.

[19] Apa yang kamu terima daripadaku lebih baik daripada emas tulen, lebih baik daripada perak murni.

[20] Aku mengambil jalan kejujuran; aku mengikut jalan keadilan.

[21] Aku memberikan kekayaan kepada orang yang mengasihi aku, dan aku memenuhi rumah mereka dengan harta.

[22] TUHAN mencipta aku pada permulaan karya-Nya, akulah hasil karya-Nya yang pertama, pada zaman dahulu.

[23] Akulah yang mula-mula sekali diciptakan, sebelum dunia ini dijadikan.

[24] Aku lahir sebelum ada lautan, sebelum ada mata air.

[25] Aku lahir sebelum gunung-gunung ditegakkan, sebelum bukit-bukit didirikan,

[26] sebelum TUHAN mencipta bumi dan padang-padangnya, bahkan sebelum ada gumpal tanah yang pertama.

[27] Aku menyaksikan Dia membentangkan langit, ketika Dia menentukan batas langit,

[28] ketika Dia menempatkan awan di langit, ketika Dia membuka mata air di lautan,

[29] ketika Dia memerintahkan air laut naik sampai ke batas yang ditentukan-Nya. Aku sudah pun ada ketika dasar bumi diletakkan-Nya.

[30] Aku di sisi-Nya seperti seorang jurubina, setiap hari akulah sumber kebahagiaan-Nya, aku sentiasa gembira di hadirat-Nya.

[31] Aku gembira dengan bumi-Nya, puas hati dengan umat manusia.

[32] Sekarang, dengarlah nasihatku, hai anak-anak. Ikutlah petunjukku supaya kamu bahagia.

[33] Terimalah ajaranku dan jadilah bijaksana; jangan abaikannya.

[34] Berbahagialah orang yang mendengarkan aku, orang yang duduk di pintu rumahku setiap hari, dan yang menunggu di gerbang kediamanku.

[35] Orang yang menemukan aku memperoleh hidup, dia diperkenankan TUHAN.

[36] Orang yang tidak menemukan aku, mencelakakan dirinya sendiri, dan sesiapa yang membenci aku, mencintai maut.”

Amsal — Chapters