Skip to content
Opens in a new window

[1] Hai anakku, ingatlah nasihatku, dan jangan lupa akan perintahku.

[2] Turutilah perintahku, maka kamu akan hidup. Berhati-hatilah menurut ajaranku sebagaimana kamu berhati-hati menjaga matamu.

[3] Peganglah ajaranku setiap masa dan simpanlah dalam hatimu.

[4] Perlakukanlah hikmat seperti saudaramu, dan pengertian seperti sahabat karibmu.

[5] Hikmat dan pengertian akan menjauhkan dirimu daripada isteri orang lain, dan daripada perempuan yang memikat dengan kata-kata manis.

[6] Pada suatu hari aku memandang dari tingkap rumahku,

[7] dan aku nampak banyak pemuda yang kurang pengalaman, tetapi khasnya aku memperhatikan seorang yang bodoh antara mereka.

[8] Dia sedang lalu di selekoh jalan, dekat rumah seorang perempuan. Dia lalu dekat rumah perempuan itu

[9] pada petang hari, ketika sudah mulai gelap.

[10] Perempuan itu menemui dia. Perempuan itu berpakaian seperti seorang pelacur dan sedang membuat rancangan.

[11] Dia lancang dan tidak tahu malu. Dia sentiasa mundar-mandir di jalan,

[12] atau menunggu di selekoh jalan; ada kalanya di jalan raya, ada kalanya pula di pasar.

[13] Dia memeluk pemuda itu dan menciumnya. Tanpa malu-malu, perempuan itu berkata,

[14] “Aku telah mempersembahkan korban hari ini, dan sekarang aku mempunyai lebihan makanan daripada korban itu.

[15] Oleh itu, aku keluar mencari engkau, dan sekarang aku menemui engkau.

[16] Aku sudah memasang cadar linen beraneka warna buatan Mesir, pada tempat tidurku.

[17] Aku sudah mengharumkannya dengan mur, gaharu, dan kayu manis.

[18] Marilah kita bercumbuan dan menikmati asmara sepanjang malam.

[19] Suamiku tiada di rumah. Dia telah pergi ke tempat jauh

[20] dan membawa banyak wang. Dia tidak akan pulang selama dua minggu.”

[21] Demikianlah perempuan itu menggoda pemuda itu dengan pujukan-pujukan yang memikat sehingga tergodalah pemuda itu.

[22] Tanpa berfikir, dia mengikut perempuan itu; pemuda itu seperti lembu yang akan disembelih dan seperti rusa yang melompat ke dalam perangkap;

[23] sebentar lagi anak panah akan menembusi jantungnya. Pemuda itu seperti burung yang terbang menuju perangkap. Dia tidak sedar bahawa nyawanya terancam.

[24] Oleh itu, hai anak-anak, dengarkanlah aku dan perhatikanlah nasihatku.

[25] Jangan biarkan perempuan seperti itu memikat hati kamu. Jangan pergi mencari dia,

[26] kerana dia telah menghancurkan kehidupan banyak lelaki, dan yang binasa pun tidak terbilang banyaknya.

[27] Jika kamu pergi ke rumahnya, kamu menuju ke dunia orang mati. Itulah jalan pintas menuju maut.

Amsal — Chapters