[1] Inilah kata-kata hikmat Raja Salomo: Anak yang bijaksana menjadi kebanggaan bapanya; anak yang bodoh menyedihkan ibunya.
[2] Kekayaan yang diperoleh dengan curang tidak membawa kebaikan, tetapi kejujuran menyelamatkan nyawa.
[3] TUHAN tidak akan membiarkan orang baik kelaparan, tetapi Dia menghalang orang jahat mencapai hasrat mereka.
[4] Orang malas akan jatuh miskin, tetapi orang rajin akan menjadi kaya.
[5] Orang bijak mengumpulkan hasil pada musim menuai; orang yang tidur pada waktu itu mendatangkan malu.
[6] Orang baik akan menerima berkat. Orang jahat menyembunyikan kekejaman di balik kata-kata mereka.
[7] Orang baik akan sentiasa dikenang, sedangkan orang jahat akan segera dilupakan.
[8] Orang bijak suka menerima nasihat. Orang yang merepek akan binasa.
[9] Orang jujur akan hidup aman, tetapi orang yang menipu akhirnya akan ketahuan.
[10] Orang yang menyembunyikan kebenaran menimbulkan kesusahan, tetapi orang yang menegur ajar dengan terus-terang mendatangkan kesejahteraan.
[11] Kata-kata orang baik mendatangkan hidup bahagia, tetapi di balik kata-kata orang jahat tersembunyi kekejaman.
[12] Kebencian menimbulkan pertengkaran, tetapi kasih mengampunkan segala kesalahan.
[13] Orang cerdik mengucapkan kata-kata bijak, tetapi orang bodoh perlu dihukum.
[14] Orang bijak mengumpulkan ilmu, tetapi orang bodoh menimbulkan kekacauan dengan repekan mereka.
[15] Kekayaan melindungi orang kaya, tetapi kemiskinan membinasakan orang miskin.
[16] Perbuatan baik mendatangkan hidup bahagia, tetapi dosa hanya mengakibatkan lebih banyak dosa.
[17] Orang yang menerima teguran akan hidup sejahtera, tetapi orang yang tidak mahu mengakui kesalahannya berada dalam bahaya.
[18] Orang yang menyembunyikan kebenciannya ialah pendusta. Orang yang mengumpat ialah orang bebal.
[19] Semakin banyak bercakap, semakin besar kemungkinan berdosa. Orang bijak berhati-hati dengan kata-kata mereka.
[20] Perkataan orang baik bagaikan perak murni, tetapi buah fikiran orang jahat tidak bererti.
[21] Perkataan orang baik merupakan berkat bagi banyak orang, tetapi orang bodoh mati kerana kebodohan mereka.
[22] Berkat TUHAN sahajalah yang menjadikan orang kaya. Kerja keras tidak akan menambah kekayaan.
[23] Orang bodoh menyukai perbuatan salah; orang bijak menyukai hikmat.
[24] Orang baik mendapat keinginan mereka, tetapi orang jahat mendapat apa yang paling ditakuti mereka.
[25] Orang jahat lenyap apabila ribut melanda, tetapi orang jujur tetap selamat.
[26] Jangan suruh orang malas kerana mereka menyusahkan sahaja seperti gigi ngilu kena cuka atau mata pedih kena asap.
[27] Orang yang takut dan hormat kepada TUHAN akan hidup lama; orang jahat akan mati sebelum saatnya.
[28] Harapan orang baik menjadikan mereka bahagia, tetapi harapan orang jahat kosong belaka.
[29] TUHAN melindungi orang jujur, tetapi Dia membinasakan orang jahat.
[30] Orang baik akan tetap hidup selamat, tetapi orang jahat akan kehilangan tanah pusaka.
[31] Orang jujur akan berucap dengan bijak, tetapi mulut pendusta akan dibungkamkan.
[32] Kata-kata orang baik menyenangkan hati, tetapi kata-kata orang jahat sentiasa menyakitkan hati.