[1] Orang jahat lari walaupun tiada sesiapa yang mengejar mereka, tetapi orang jujur berani seperti singa.
[2] Apabila bangsa memberontak, pemerintahnya bertukar-tukar; apabila pemimpin pandai dan bijak, pemerintahannya kuat dan kukuh.
[3] Penguasa yang menindas orang miskin bagaikan hujan lebat yang memusnahkan tuaian.
[4] Sesiapa yang mengabaikan hukum, memihak orang jahat; sesiapa yang mentaati hukum, memusuhi orang jahat.
[5] Orang jahat tidak memahami keadilan; orang yang menyembah TUHAN, sungguh-sungguh memahaminya.
[6] Lebih baik miskin dan jujur daripada kaya dan curang.
[7] Orang muda yang mentaati hukum adalah bijak. Orang yang bersahabat dengan pemboros memalukan bapanya.
[8] Sesiapa yang menjadi kaya dengan mengenakan kadar bunga wang yang tinggi serta memperdaya orang lain, hartanya akan menjadi milik orang yang berbelas kasihan kepada orang miskin.
[9] Jika kamu tidak mentaati hukum, doa kamu pun akan menjijikkan.
[10] Sesiapa yang menyesatkan orang jujur, akan dijerat oleh perbuatan jahatnya sendiri. Orang yang tidak bersalah akan diberkati sehingga bahagia.
[11] Orang kaya sentiasa menganggap diri mereka bijak, tetapi orang miskin yang bijak tahu sifat sebenar orang kaya itu.
[12] Apabila orang baik menjadi penguasa, semua orang bersukacita, tetapi jika orang jahat memerintah, semua orang bersembunyi.
[13] Sesiapa menyembunyikan dosanya tidak akan berjaya dalam hidupnya. Sesiapa mengakui dan meninggalkan dosanya, akan dikasihani Allah.
[14] Berbahagialah orang yang mentaati TUHAN, tetapi orang yang keras kepala akan dimusnahkan.
[15] Penguasa jahat yang menindas orang miskin bagaikan singa yang mengaum atau beruang yang menyerang.
[16] Penguasa yang bodoh itu kejam, tetapi penguasa yang membenci kecurangan akan memerintah lama.
[17] Seorang pembunuh akan merasa dikejar-kejar sampai ke ajalnya. Jangan cuba menolong dia.
[18] Orang yang jujur akan selamat, tetapi orang yang menipu akan binasa dengan tiba-tiba.
[19] Petani yang bekerja keras akan mendapat banyak makanan, tetapi orang yang membuang masa akan sentiasa miskin.
[20] Orang jujur akan hidup bahagia, tetapi orang yang hendak cepat kaya, tidak akan terlepas daripada hukuman.
[21] Bersikap berat sebelah adalah perbuatan yang salah, tetapi ada hakim berbuat demikian untuk menerima rasuah walaupun sedikit.
[22] Orang yang kikir ingin cepat kaya. Dia tidak sedar bahawa kemiskinan segera menimpa dia.
[23] Orang yang memberikan tegur ajar akhirnya lebih dihargai daripada orang yang memberikan pujian.
[24] Sesiapa yang mencuri daripada ibu bapanya dan menyangka perbuatan itu bukan dosa sama juga dengan pencuri.
[25] Sifat tamak mendatangkan kesusahan. Sesiapa yang bergantung kepada TUHAN akan berbahagia.
[26] Orang yang mengikut pendapat sendiri adalah bodoh. Orang yang mengikut ajaran orang yang bijak akan selamat.
[27] Sesiapa yang memberi kepada orang miskin tidak akan kekurangan. Sesiapa yang menutup mata terhadap orang miskin akan kena kutuk.
[28] Apabila orang jahat menjadi penguasa, rakyat bersembunyi; tetapi apabila orang jahat binasa, orang adil akan memerintah lagi di merata tempat.