Skip to content
Opens in a new window

[1] Sebagaimana salji tidak sepatutnya turun pada musim panas atau hujan pada musim menuai, demikian juga pujian tidak sepatutnya diberikan kepada orang bodoh.

[2] Seperti burung terbang dan melayang-layang di udara, begitu juga kutukan tidak boleh kena pada orang yang tidak bersalah.

[3] Kuda harus dicambuk, keldai harus dikekang, dan orang bodoh harus dipukul.

[4] Orang yang menjawab pertanyaan yang bukan-bukan, menjadi sebodoh orang yang bertanya.

[5] Pertanyaan yang bodoh harus diberikan jawapan yang bodoh juga, supaya si penanya sedar bahawa dia tidak sepandai yang disangkanya.

[6] Mengutus orang bodoh untuk menyampaikan pesan sama dengan mematahkan kaki sendiri dan mencari kecelakaan.

[7] Seperti orang lumpuh tidak dapat menggunakan kaki, demikian juga orang bodoh tidak dapat menggunakan peribahasa.

[8] Memuji orang yang bodoh sia-sia sahaja, seperti batu yang diikat pada lastik.

[9] Orang bodoh yang cuba mengutip peribahasa bagaikan orang mabuk yang cuba mengeluarkan duri dari tangannya.

[10] Sesiapa yang mengupah orang bodoh akan menyusahkan semua orang.

[11] Orang bodoh yang mengulangi kebodohan mereka bagaikan anjing yang menjilat semula muntahnya.

[12] Sebodoh-bodohnya orang, tidaklah sebodoh orang yang menyangka dirinya bijak, padahal tidak.

[13] Orang malas tidak suka keluar dari rumah. Dia berkata bahawa dia akan diterkam oleh singa jika dia keluar.

[14] Seperti pintu yang berayun pada engselnya, demikianlah orang malas membalik-balikkan badan di atas tempat tidur.

[15] Ada orang yang begitu malas sehingga tidak mahu makan sendiri.

[16] Si pemalas menganggap dirinya lebih pandai daripada tujuh orang yang dapat menjawab dengan tepat.

[17] Melibatkan diri dalam pertengkaran orang lain bagaikan menangkap anjing pada telinganya.

[18] Orang yang menipu orang lain, lalu berkata bahawa dia hanya bergurau bagaikan orang gila yang bermain dengan senjata yang berbahaya.

[20] Tanpa kayu, api padam; tanpa umpatan, pertengkaran pun berhenti.

[21] Seperti arang dan kayu membuat api tetap menyala, begitu juga orang yang suka bergaduh menyebabkan pertengkaran.

[22] Umpatan sangat enak rasanya; orang suka menelannya.

[23] Bagaikan periuk tanah yang disepuh perak, begitulah orang yang bermulut manis tetapi berhati jahat.

[24] Si pembenci manis kata-katanya, tetapi hatinya penuh tipu daya.

[25] Meskipun dia ramah, jangan percaya kepadanya, kerana hatinya penuh dengan kebencian.

[26] Dia mungkin dapat menyembunyikan kebenciannya, tetapi perbuatannya yang jahat itu akan nyata.

[27] Orang yang memasang perangkap bagi orang lain akan terjerat oleh perangkapnya sendiri. Orang yang menggulingkan batu akan ditimpa oleh batu itu juga.

[28] Membohongi orang sama dengan membencinya. Mulut manis yang tidak tulus mendatangkan kemusnahan.

Amsal — Chapters