[1] Anak yang bijak menerima tegur ajar bapa, tetapi orang yang sombong tidak mahu menerima tegur ajar.
[2] Kata-kata orang baik mendatangkan balasan yang baik, tetapi orang yang penuh dengan muslihat suka akan keganasan.
[3] Orang yang berhati-hati dengan kata-katanya, melindungi diri sendiri. Orang yang bercakap sembarangan, membinasakan dirinya.
[4] Orang malas yang banyak keinginan, tidak akan mencapainya. Orang rajin akan mendapat apa sahaja yang diingini mereka.
[5] Orang jujur membenci dusta, tetapi kata-kata orang jahat memalukan dan membawa aib.
[6] Kejujuran melindungi orang yang tidak bersalah, tetapi kejahatan mencelakakan orang yang berdosa.
[7] Ada orang berpura-pura kaya, padahal tidak memiliki apa-apa. Ada pula orang berpura-pura miskin, padahal kaya raya.
[8] Orang kaya terpaksa menebus nyawa dengan kekayaan, tetapi orang miskin bebas daripada ancaman.
[9] Orang salih bagaikan pelita yang terang, tetapi orang jahat bagaikan pelita yang hampir padam.
[10] Kesombongan hanya membawa kesusahan; lebih bijak meminta nasihat.
[11] Kekayaan yang diperoleh dengan mudah, cepat habis, tetapi harta yang dikumpulkan sedikit demi sedikit akan semakin bertambah.
[12] Apabila harapan hancur, hati pun hancur; apabila hasrat tercapai, hati gembira.
[13] Orang yang menolak firman Allah akan mencelakakan diri, sebaliknya orang yang taat kepada perintah Allah akan mendapat pahala.
[14] Ajaran orang bijak bagaikan sumber kehidupan; apabila ada ancaman, ajaran itu menyelamatkan nyawa.
[15] Orang bijak mendapat kehormatan, tetapi orang yang tidak dapat dipercayai menuju kebinasaan.
[16] Orang bijak sentiasa berfikir dahulu sebelum bertindak, tetapi orang bodoh mengiklankan kebodohan mereka.
[17] Utusan yang tidak bertanggungjawab mendatangkan kesusahan, tetapi utusan yang dapat dipercayai mendatangkan kesejahteraan.
[18] Orang yang tidak mahu diajar akan menjadi miskin dan hina, tetapi orang yang mengendahkan nasihat akan dihormati.
[19] Alangkah baiknya mendapat apa yang diinginkan! Orang bodoh tidak mahu berpaling daripada kejahatan.
[20] Orang yang bergaul dengan orang bijak akan menjadi bijak; orang yang bersahabat dengan orang bodoh akan celaka.
[21] Kesusahan mengekori orang berdosa, tetapi orang baik menerima kebaikan.
[22] Orang baik akan mewariskan hartanya kepada anak cucu, sedangkan harta orang berdosa diwarisi oleh orang yang lurus hati.
[23] Tanah kosong dapat menghasilkan banyak makanan untuk orang miskin, tetapi orang yang tidak adil menghalang tanah itu daripada diusahakan.
[24] Orang yang tidak memukul anaknya, tidak mengasihi anak itu. Orang yang mengasihi anaknya akan mendisiplinkan anak itu.
[25] Orang baik sentiasa cukup makanan, tetapi orang jahat sentiasa kelaparan.