Skip to content
Opens in a new window

[1] TUHAN menguasai fikiran raja seperti Dia menentukan aliran sungai.

[2] Orang menyangka segala perbuatan mereka baik; tetapi ingatlah, TUHAN mengetahui maksud hati manusia.

[3] Perbuatan yang baik dan adil lebih menyenangkan hati TUHAN daripada korban yang dipersembahkan.

[4] Orang jahat berdosa kerana dikuasai oleh kesombongan dan keangkuhan.

[5] Rancangan yang dibuat oleh orang rajin membawa hasil yang berlimpah tetapi tindakan tergesa-gesa mengakibatkan orang kekurangan.

[6] Kekayaan yang diperoleh secara tidak jujur, bukan sahaja tidak kekal tetapi pasti akan membawa maut.

[7] Orang jahat tidak mahu melakukan perbuatan adil; keganasan mereka akan memusnahkan mereka.

[8] Orang yang bersalah menempuh jalan yang berliku-liku; orang yang baik mengikut jalan yang lurus.

[9] Tinggal di bumbung rumah lebih baik daripada tinggal di dalam rumah bersama-sama isteri yang suka bertengkar.

[10] Orang jahat sentiasa ingin melakukan kejahatan; mereka tidak berbelas kasihan terhadap sesiapa pun.

[11] Hukuman bagi orang yang suka mencemuh menjadi pelajaran kepada orang yang bodoh. Orang bijak mendapat pengetahuan apabila diajar.

[12] Allah Yang Maha Adil tahu apa yang berlaku di rumah orang jahat dan Dia akan menghukum mereka sehingga binasa.

[13] Orang yang tidak mahu mendengarkan keluhan orang miskin, tidak akan diperhatikan apabila dia sendiri minta pertolongan.

[14] Pemberian yang diberikan secara diam-diam kepada orang yang marah, akan meredakan kemarahannya.

[15] Apabila keadilan dilaksanakan, orang baik bersukacita, tetapi orang jahat ketakutan.

[16] Orang yang menyimpang daripada cara hidup yang berbudi akan menemui ajalnya.

[17] Orang yang suka berfoya-foya dan menggemari wain serta makanan lazat tidak akan menjadi kaya.

[18] Orang jahat akan merasakan penderitaan yang ditimpakan mereka kepada orang baik.

[19] Lebih baik tinggal di padang gurun daripada tinggal bersama-sama isteri yang suka bertengkar dan pemarah.

[20] Orang bijak tetap kaya dan makmur, tetapi orang bodoh membazirkan harta mereka.

[21] Orang yang jujur dan baik hati berusia panjang. Dia akan dihormati dan diperlakukan dengan adil.

[22] Seorang bijak dapat merebut kota yang dipertahankan oleh askar-askar perkasa, dan merobohkan tembok kota yang menjadi harapan mereka.

[23] Berhati-hatilah ketika bertutur supaya tidak ditimpa kesukaran.

[24] Orang yang sombong dan tinggi hati, suka mencela dan kurang ajar.

[25] Orang malas tidak mahu bekerja; dia dibunuh oleh keinginannya.

[26] Dia hanya memikirkan keinginannya. Sebaliknya, orang yang taat kepada Allah dapat memberi dengan berlimpah-limpah.

[27] TUHAN membenci korban yang dipersembahkan orang jahat, lebih-lebih lagi jika korban itu diberikan dengan maksud jahat.

[28] Kesaksian pembohong tidak dapat dipercayai, tetapi kesaksian orang yang dapat dipercayai akan diterima.

[29] Orang jujur yakin akan diri mereka sendiri, tetapi orang jahat terpaksa berpura-pura.

[30] Kepintaran, kecerdasan, dan kebijaksanaan manusia tidak berguna jika TUHAN menentang kita.

[31] Orang menyiapkan kuda untuk berperang, tetapi TUHAN yang memberikan kemenangan.

Amsal — Chapters