[1] Lebih baik menjadi orang miskin tetapi jujur, daripada menjadi orang bodoh yang suka membohong.
[2] Keghairahan tanpa pengetahuan tidak baik; orang yang tergesa-gesa akan membuat kesalahan.
[3] Ada orang merosakkan hidup kerana kebodohan sendiri, lalu menyalahkan TUHAN pula.
[4] Orang kaya sentiasa mendapat kawan baru, tetapi orang miskin ditinggalkan kawan.
[5] Orang yang berbohong di mahkamah dan orang yang berdusta pasti dihukum.
[6] Setiap orang berusaha untuk mengambil hati orang besar dan mahu bersahabat dengan dermawan.
[7] Orang yang miskin tidak disukai oleh saudaranya, apalagi oleh sahabatnya. Bagaimana pun dia berusaha untuk berkawan dengan mereka, dia tidak dapat memikat mereka.
[8] Sesiapa mengejar pengetahuan, mengasihi dirinya; sesiapa mengingat apa yang dipelajarinya, akan berjaya.
[9] Sesiapa yang membohong di mahkamah tidak akan terlepas daripada hukuman. Dia pasti binasa.
[10] Orang bodoh tidak layak hidup dalam kemewahan; hamba tidak patut memerintah penguasa.
[11] Orang bijak dapat menahan kemarahan. Mereka dipuji kerana mengampunkan kesalahan orang terhadap mereka.
[12] Kemurkaan raja bagaikan ngauman singa, tetapi kebaikannya bagaikan embun yang membasahi tumbuh-tumbuhan.
[13] Anak yang bodoh membinasakan bapanya. Isteri yang meleter bagaikan titisan air yang tidak henti-henti.
[14] Rumah dan harta boleh diwarisi daripada ibu bapa, tetapi isteri yang bijak ialah kurnia daripada TUHAN.
[15] Orang yang sentiasa tidur dan bermalas-malas pasti akan kelaparan.
[16] Orang yang mentaati hukum Allah akan berusia panjang. Tetapi orang yang tidak mematuhi perintah-Nya akan mati.
[17] Menolong orang miskin sama seperti memberikan pinjaman kepada TUHAN. TUHAN sendiri akan membalasnya.
[18] Disiplinkan anak selagi mereka muda. Jika tidak, kamu menyebabkan kehancuran mereka.
[19] Biarlah orang yang cepat marah merasakan akibatnya. Jika kamu menolong orang itu satu kali, kamu harus menolongnya lagi.
[20] Orang yang suka mendengar nasihat dan mahu belajar akan menjadi bijaksana kelak.
[21] Manusia mempunyai banyak rancangan, tetapi hanya kehendak TUHAN akan terlaksana.
[22] Ketamakan merupakan keaiban; lebih baik menjadi orang miskin daripada menjadi pembohong.
[23] Hormatilah TUHAN, maka kamu akan panjang umur. Kamu akan puas hati dan bebas daripada bahaya.
[24] Ada orang begitu malas sehingga tidak mahu makan sendiri.
[25] Kalau orang sombong dihukum, orang yang bodoh mendapat pelajaran. Kalau orang yang bijak ditegur, dia menjadi lebih bijak.
[26] Hanya anak yang memalukan dan tercela akan menganiaya bapanya dan mengusir ibunya.
[27] Hai anakku, jika kamu berhenti belajar, kamu akan segera melupakan segala yang telah kamu pelajari.
[28] Jika seseorang telah bertekad memberikan kesaksian palsu, keadilan tidak dijalankan. Orang jahat suka akan kejahatan.
[29] Orang bodoh yang sombong pasti kena hukuman.