Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 4:26

[1] Lalu Ayub menjawab,

[2] "Ah, andainya kepiluanku ditimbang dan kesusahanku diletakkan pula pada neraca,

[3] pastilah beratnya melebihi pasir di laut. Lantas kata-kataku telah terlanjur.

[4] Anak-anak panah Yang Maha Kuasa menembusi tubuhku, jiwaku meminum racunnya. Kengerian daripada Allah berbaris melawan aku.

[5] Adakah keldai liar meringkik apabila berdekatan rumput muda? Adakah lembu melenguh berdekatan makanannya?

[6] Bolehkah makanan yang hambar dimakan tanpa garam? Atau adakah rasa pada putih telur?

[7] Aku tidak mahu menjamahnya, bagiku semua itu seperti makanan yang memualkan.

[8] Kalaulah terkabul permintaanku, dan Allah mengurniakan apa yang kuharapkan!

[9] Kiranya Allah berkenan menghancurkan aku, kiranya Dia membiarkan tangan-Nya membunuh aku.

[10] Itulah yang akan menjadi kelegaan bagiku – malah aku akan melompat gembira dalam kesakitan yang tidak kenal belas kasihan – bahawa aku tidak pernah menyangkal firman daripada Yang Maha Suci.

[11] Apakah dayaku sehingga aku harus berharap? Bagaimana akhir hidupku sehingga aku harus bersabar?

[12] Adakah kekuatanku seperti kekuatan batu? Adakah tubuhku ini gangsa?

[13] Bukankah tidak ada pertolongan bagiku, dan pelepasan sudah terhalau daripadaku?

[14] Orang yang putus asa sepatutnya dikasihani oleh sahabatnya, sekalipun orang itu mengabaikan ketakwaan kepada Yang Maha Kuasa.

[15] Saudara-saudaraku khianat seperti sungai, seperti alur-alur sungai yang mengalir lalu lenyap,

[16] yang keruh kerana ais, yang di dalamnya tercair salji.

[17] Pada musim kemarau mereka lenyap, ketika kena panas mereka hilang dari tempat mereka.

[18] Kafilah-kafilah yang mengikuti jalannya menyimpang, mereka naik ke tanah tandus lalu binasa.

[19] Kafilah-kafilah Tema mencari-cari air, rombongan-rombongan Syeba mengharapkannya,

[20] tetapi mereka kecewa kerana mereka sudah yakin pada mulanya. Sesampainya di sana mereka menjadi keliru.

[21] Sekarang, kamu ini pun tidak ada gunanya, kamu melihat hal yang mengerikan lalu takut.

[22] Pernahkah aku berkata, 'Berilah aku sesuatu,' atau, 'Berikan wang sogokan daripada kekayaanmu untukku,'

[23] atau, 'Lepaskanlah aku daripada tangan lawan,' atau, 'Tebuslah aku daripada tangan orang kejam'?

[24] Ajarlah aku, maka aku akan berdiam diri, beritahu aku dalam hal apa aku bersalah.

[25] Betapa menyakitkan kata-kata yang jujur! Tetapi apakah yang ternyata hasil teguranmu itu?

[26] Adakah kamu bermaksud menegur kata-kata dan menganggap penuturan orang yang putus asa seperti angin?

[27] Bahkan kamu mencabut undi atas anak yatim dan memperdagangkan sahabatmu.

[28] Sekarang, sudilah memandang aku, aku tidak akan berdusta di hadapanmu.

[29] Kumohon berpalinglah, janganlah kezaliman terjadi. Berpalinglah, aku pasti tidak bersalah.

[30] Apakah ada kezaliman pada lidahku? Takkan langit-langit mulutku tidak dapat mencerap bencana?"

Ayub — Chapters